Lebih 20 tahun jadi peguam syarie, ramai tak tahu Fadhlina pernah kendali kes balu Abam Bocey


Fadhlina memiliki pengalaman lebih 20 tahun sebagai peguam syarie. — Fadhlina Sidek

NAMA Fadhlina Sidek, 48, bukanlah figura asing dalam dunia pendidikan dan politik tanah air.

Menjadi wanita pertama yang menyandang jawatan menteri pendidikan di Malaysia, beliau tampil sebagai tokoh berprinsip, berilmu tinggi dan sentiasa menjadikan pendidikan sebagai nadi perjuangannya.

Namun sebelum bergelar pemimpin politik, Fadhlina telah menempuh perjalanan akademik dan kerjaya profesional cukup mengagumkan dalam bidang perundangan.

BACA LAGI: Murid perempuan terkecuali, hanya pengetua, guru ada kuasa dibenar merotan pelajar — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Lebih 8,000 calon SPM tak hadir ujian kertas bertulis — Fadhlina Sidek

Beliau turut berkongsi sedikit sebanyak perjalanan pendidikan dan kariernya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Fadhlina Sidek pada Khamis.

"April adalah sangat istimewa buat saya. Kenangan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara adalah pengalaman hidup yang bermakna.

"Rasanya saya adalah pelajar undang-undang paling lama belajar. Selesai sahaja ijazah pertama, terus disambung ijazah kedua (syariah).

"Ketika sedang menjalani latihan dalam kamar, saya menyambung Diploma Pentadbiran dan Kehakiman Islam (ketika ini bercita-cita mahu menjadi Hakim Syarie, tetapi saya tidak pandai bahasa Arab, maka terpaksa lupakan cita-cita tersebut).

"Selepas berkahwin sepertinya tiada henti, saya menyambung pula pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

KUALA LUMPUR, 13 Mac --Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fadhlina merupakan wanita pertama menyandang jawatan menteri pendidikan di Malaysia.

Walaupun kini bergelar menteri, beliau mengakui masih sahaja menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), namun bukan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun menurutnya, pengalaman lebih 20 tahun menjadi peguam syarie itu sendiri sudah menjadi 'tesis kehidupan' beliau.

"Iktibarnya apa? Sebagai orang yang sentiasa mencari ilmu pengetahuan, yang dahagakan pencerahan, sentiasa komited dengan agenda pencerdasan bangsa, maka jangan sesekali putus asa dalam menempuh kepayahan menuntut ilmu.

"Biar lelah ketika belajar dan menuntut ilmu, kerana kita tidak boleh lelah tatkala melawan kejahilan," ujarnya.

Sebelum aktif dalam politik juga, beliau banyak terlibat dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya dalam bidang advokasi syariah dan pendidikan.

Fadhlina (tengah) sentiasa komited dengan agenda pencerdasan bangsa. — Fadhlina Sidek

Sebagai peguam syarie, Fadhlina dikenali kerana komitmennya dalam memperjuangkan perlindungan dan keselamatan wanita serta kanak-kanak, selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Antara kes pernah dikendalikan beliau adalah mengetuai pasukan peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2015, dalam kes qazaf yang dikaitkan dengan dakwaan seks luar tabii.

Selain itu, pada 2020 beliau juga bertindak sebagai sebagai peguam syarie terhadap balu kepada pelawak terkenal, Allahyarham Abam Bocey, iaitu Hidayah Hamzah.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Fadhlina pertama kali dicalonkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal dan berjaya menewaskan penyandang Datuk Mansor Othman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 16,293 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram