Pernah tidur berlapar ketika di bangku sekolah, guru kenang jasa Pak Lah wujudkan SABK


  • Relaks
  • Rabu, 16 Apr 2025

Pak Lah antara pemimpin yang memperhebat bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

PEMERGIAN Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja menjadi kehilangan besar buat negara, malah turut membawa duka kepada individu yang pernah merasai hasil atas pelaksanaan dasar-dasar murni yang dibawa oleh beliau.

Sebagai figura yang menjadi tonggak utama dalam memperhebat bidang pendidikan dan pembangunan modal insan negara, jasa Allahyarham pastinya memberi kesan buat individu yang bergelar pelajar ketika di bawah pimpinannya sebagai Perdana Menteri dari 2003 sehingga 2009.

Salah satunya adalah seperti yang dikongsi oleh Adawiyah Shaarani yang kini merupakan guru di sebuah sekolah.

BACA LAGI: Pilates, senaman perut 800 kali, jus lemon rahsia 5 selebriti wanita K-Pop kekal langsing

BACA LAGI: Cabaran ditempuhi anak-anak membesar dengan ibu bapa pekak jarang dibincangkan

 

Adawiyah sempat hadir ke Masjid Negara bagi memberikan penghormatan terakhir buat Tun Abdullah. — Facebook/@Adawiyah Shaarani

Dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa, dia berkongsi mengenai sumbangan Allahyarham yang memperkenal sistem Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dianggap mengubah kehidupannya dan pelajar lain.

"Teringat ketika saya di tingkatan satu dan dua di sebuah sekolah agama rakyat. Lauk kami hanya telur atau telur dadar. Begitulah hari demi hari sehingga setahun lebih juga kalau tak silap saya.

"Sekolah tidak punya wang, yuran murid berapalah sangat untuk menampung operasi. Segalanya bercatu. Pernah juga kami tidur dalam keadaan lapar kerana makanan malam habis awal," tulisnya.

Bercerita lanjut, makanan harian mereka bertambah baik selepas sekolah berkenaan diambil alih oleh Tun Abdullah atau mesra disapa 'Pak Lah' dan menjadikannya sebagai SABK.

"Selepas beliau (Pak Lah) naik menjadi perdana menteri, sekolah tersebut diambil alih sebagai SABK. Dapatlah kami merasa makan ayam dan makanan lebih mewah selepas itu.

"Terima kasih atas makanan yang sedap dan mengenyangkan tersebut wahai Pak Lah hamba ALLAH yang soleh," ujarnya.

Tambah Adawiyah, sekolah berkenaan dinaik taraf tahun demi tahun, malah guru-guru juga diserap menjadi kakitangan awam.

"Hasil daripada sekolah tersebut, saya kini seorang guru sekolah menengah dan abang saya seorang doktor perubatan yang sedang buat kepakaran dalam bidang radiologi," kongsinya.

Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan mengalami sesak nafas.

Allahyarham kemudiannya disemadikan di Makam Pahlawan dekat Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tun Abdullah meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah dan empat orang anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram