
PEMERGIAN Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja diratapi oleh negara, malah turut mengundang rasa pilu dan hiba dalam kalangan individu yang pernah rapat dengannya atau sekadar mempunyai pertemuan singkat.
Antara yang turut merasai kehilangan Allahyarham ialah Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu seperti kehilangan seorang ayah.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau mengimbau detik sewaktu pemilihan Puteri Umno yang mana ketika itu Allahyarham Tun Abdullah atau lebih mesra disapa sebagai Pak Lah juga merupakan presiden pertubuhan tersebut.
"Sewaktu Pemilihan Puteri Umno, Noraini Ahmad dan Suraya sama-sama tawar diri bertanding Ketua Puteri Umno Malaysia. Manakala saya, Rosnah Shirlin dan Bibi Sharliza bertanding Naib Ketua Puteri.
"Kami dipanggil oleh Pak Lah yang juga Presiden Umno ketika itu ke pejabat Perdana Menteri. Beliau mohon supaya tiada pertandingan, sebaliknya berbincang sehingga menemukan kata sepakat," kongsinya.
Akui terkejut dengan permintaan itu, beliau dan calon lain masing-masing memberikan pandangan sambil didengar Allahyarham yang dikatakan sentiasa senyum ketika perbincangan berjalan.
Hasilnya, mereka akur dan bersetuju untuk berkompromi terhadap cadangan yang diutarakan Allahyarham.
Shahaniza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut bercerita mengenai sisi beliau yang penuh empati dan prihatin.
Kata beliau, Allahyarham yang diangkat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan itu adalah antara individu yang banyak mengambil berat tentang keluarga.
Malah, nama anak bongsunya, Amzar juga diberikan oleh Pak Lah sempena nama sahabat Nabi.
"Semasa anak saya yang kedua menghidap leukemia, Pak Lah sering bertanya khabar dan ada satu ketika Pak Lah berniat untuk menunaikan solat hajat di Mekah buat anak saya bersama bekas isterinya (Allahyarham Tun Endon Mahmood Ambak) yang ketika itu sedang bertarung dengan kanser," ceritanya dalam hantaran yang disertakan dengan gambar beliau menziarahi Allahyarham.
Menyentuh sisi peribadi pula, Shahaniza berkongsi detik menyentuh hati sewaktu berkunjung ke pejabat Allahyarham selepas beliau berkahwin semula dengan Tun Jeanne Abdullah Danker.
'Saya secara spontan bertanya kepada pemimpin itu mengenai gambar arwah isteri yang masih diletakkan di atas meja.
“Kenapa tidak? Takkan apabila kita kahwin baharu, yang lama kita lupa?”, jawab Allahyarham kepada beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram