'Tahniah sebab dah dekat kematian', suami hadiah kain kafan sempena ulang tahun kelahiran Noorkhiriah


  • Hiburan
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Noorkhiriah berkongsi gambar berlatarbelakangkan tanah perkuburan sambil memegang erat bungkusan hadiah daripada suami tercinta. — Instagram/khiriah17

SUAMI kepada pelakon versatil, Noorkhiriah Ahmad Shapie, menghadiahkan satu set kain kafan bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-49.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya pada Jumaat, Noorkhiriah menyifatkan hadiah tersebut sebagai satu peringatan mendalam tentang kematian, yang diberikan bersempena hari lahirnya pada 11 April 2025.

Lebih menyentuh hati, hadiah itu diletakkan di bahagian belakang keretanya oleh suami, yang turut terlibat dengan pertubuhan kebajikan diasaskan oleh Noorkhiriah sendiri iaitu Pertubuhan Amal Nur By Khiriah.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tak tahan sebak, bapa cukur rambut tanda sokongan anak hidap leukemia

BACA LAGI: Cuba hidupkan watak, kerjaya artis bukan saja glamor tapi tak terlepas cedera di lokasi penggambaran

"Assalamualaikum, akak tak tahu apa yang ALLAH nak bagi sebab benda yang dekat dengan kematian akak dapat pada hari lahir 2025," tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Pemain drama Seribu Tahun itu juga memuat naik gambar berlatarbelakangkan tanah perkuburan sambil memegang erat bungkusan hadiah daripada suami tercinta, Azfaizul Ahtan.

Menurut pelakon wanita yang dikenali dengan watak dramatik dan berkesan itu lagi, kain kafan yang dihadiahkan tidak dihiasi sebarang kemewahan, tiada poket, tiada labuci mahupun seutas benang.

"Akak menumpang keberkatan hari Jumaat. Di belakang rumah kekal, berbekalkan kain kafan hadiah encik suami.

"Lain macam 11 April tahun ni, terima kasih ALLAH masih panjangkan umur yang dah singkat ini untuk buat apa yang patut.

"Terima kasih mak halalkan air susu, terima kasih encik suami atas doa dan hadiah, halus ya permainan. Akhirnya tahniah sebab dah dekat dengan kematian," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram