
INDUSTRI perfileman negara sentiasa dimeriahkan dengan naskhah filem berkualiti seiring kemajuan teknologi masa kini.
Malah, peredaran zaman turut melihatkan 'selera' penonton tempatan semakin terbuka untuk menerima kepelbagaian genre ditampilkan penggiat seni khususnya karyawan muda negara.
Terbaharu, filem adiwira Keluang Man menjadi bualan hangat ekoran kemunculan semula kisah adaptasi komik tersebut yang satu ketika dahulu cukup ikonik dalam kalangan kanak-kanak.
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
BACA LAGI: Kecewa industri komik tak laku, kartunis Ujang gesa saluran TV khas buat pelukis komik animasi
Kembali menggamit memori nostalgia, filem yang dijadual ditayangkan pada 29 Mei itu dijangka mampu membawa perubahan besar terhadap landskap seni negara.
Sarat dengan babak aksi yang disulami elemen lucu, berikut tiga keunikan yang mampu ditawarkan kepada penonton di layar perak kelak:
1. Anwari Ashraf
Penggemar filem aksi tempatan pasti tidak asing dengan figura kelahiran Kulim, Kedah ini.
Kreatif dan sentiasa berani menampilkan kelainan dalam setiap karyanya, Anwari Ashraf, 35, atau nama lengkapnya Anwari Ashraf Hashim merupakan antara pengarah berbakat disegani industri.
Berada di kelas tersendiri, beberapa buah filem aksi arahan dan tulisan skripnya sebelum ini dikategorikan sebagai pecah panggung antaranya Polis Evo, Wira, Kahar: Kapla High Council dan PASKAL.
Cukup arif dalam babak aksi dan genre filem sedemikian, nescaya Keluang Man juga mampu mengikut jejak kejayaan ditempa deretan filem lain dihasilkan sebelum ini.
2. Filem adiwira pertama diadaptasi dari komik
Tidak dinafikan, industri komik terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat yang satu ketika dahulu menjadi 'peneman' kanak-kanak di kala masa lapang.
Perubahan besar berlaku apabila Malaysia didatangi rancangan kartun luar negara yang menyaksikan program televisyen negara didominasi rancangan kartun.
Situasi itu kemudiannya dituruti industri tempatan yang berpusu-pusu menghasilkan filem animasi negara.
Pun begitu, Keluang Man yang pada mulanya dihasilkan dalam bentuk bacaan komik menjadi yang pertama diangkat ke layar perak dengan susunan plot cerita masih sama dengan asal.
Adiwira lakonan hebat Nas T itu menjanjikan kelainan dan keunikan tersendiri di samping rekaan sut yang cukup menawan hati peminat.
3. Kebangkitan animasi tempatan
Era kegemilangan komik tempatan satu ketika dahulu cukup fenomena dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.
Biarpun sekadar fiksyen semata-mata, trend membaca komik sentiasa mendapat tempat di hati peminat bahkan ada di antaranya diinspirasikan daripada kisah benar seperti Anak-Anak Sidek.
Melihatkan kesungguhan pihak produksi Astro Shaw dalam mengangkat karya komik ke pawagam memberi bayangan lebih banyak naskhah sedemikian dijulang ke layar perak kelak.
Paling dinanti-nantikan, komik Aku, Dia & Volkswagen dan Usop Santorian antara yang menjadi sasaran peminat untuk dibintangi aktor dan aktres popular negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram