
KELAB komuniti Gasing Rangers mempamerkan tindakan terpuji apabila menjalankan aktiviti gotong-royong di Bukit Gasing, Selangor baru-baru ini.
Menghimpunkan lebih 150 sukarelawan termasuk orang awam, aktiviti itu membersihkan kawasan kira-kira 8 kilometer (km) berhampiran taman hutan popular di Petaling Jaya, Selangor itu.
Presiden Gasing Rangers VS Vel Kumar berkata, inisiatif itu bertujuan memelihara keindahan alam semula jadi Bukit Gasing dengan membersihkan sampah yang ditinggalkan.
BACA LAGI: 50 peratus beras tempatan dicampur dalam beras import — MARDI
"Kami mahu mempromosikan pemuliharaan alam sekitar dengan melibatkan masyarakat," katanya.
Gotong-royong itu turut melibatkan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 untuk aktiviti kelab Gasing Renjer termasuk perbelanjaan gotong-royong dijalankan.
Dalam pada itu, para sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan kawasan kejiranan manakala mereka yang berpengalaman dalam aktiviti pendakian, ditugaskan untuk mengutip sampah di kawasan hutan.
Sukarelawan gembira membantu membersihkan sampah di sekitar Bukit Gasing. — The Star
Selama hampir tiga jam, sukarelawan dilengkapi plastik dan pemungut sampah menyelongkar ke serata kawasan untuk mencari sisa buangan yang menyaksikan lebih 450kg sampah berjaya dipungut.
Gasing Rangers turut merakamkan penghargaan terhadap 15 ahli komunitinya atas pencapaian mereka dalam mendaki gunung di seluruh dunia termasuk Gunung Kinabalu dan Gunung Everest.
Kelab sukan itu juga telah menghubungi MBPJ untuk menaik taraf kemudahan bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung ke kawasan pendakian Bukit Gasing.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan, Ahli Majlis MBPJ Terence Tan, Pegawai Kawalan Alam Sekitar JAS Selangor Syakirin Zahar, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus Tan Sri R. Doraisingam Pillai dan wakil Restoran India Gate Priyanka Saravanan. — The Star/LEE JUNE LING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram