Kecewa industri komik tak laku, kartunis Ujang gesa saluran TV khas buat pelukis komik animasi


  • Hiburan
  • Rabu, 13 Nov 2024

Ibrahim Anon merupakan pelukis komik majalah Ujang yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.

KERJAYA sebagai seorang pelukis komik dan kartunis satu ketika dahulu cukup popular dan banyak diberikan pendedahan dalam industri tanah air.

Namun, peredaran teknologi yang semakin canggih kini semakin menyukarkan golongan itu untuk 'cari makan' ekoran trend membaca yang semakin merudum dalam kalangan masyarakat hari ini.

Malah, situasi lebih meruncing apabila lepasan graduan kursus perfileman digital dan seni animasi misalnya bergelut mencari pekerjaan sesuai dengan bidang masing-masing sebaik tamat pengajian di universiti.

BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor

BACA LAGI: Bermula gaji RM600 di PULAPOL, bakat lakonan DSP Shaharom Anuar menyinar digilap Skop Production

Akur dengan krisis melanda industri animasi negara hari ini, kartunis dan pelukis komik popular era 90-an iaitu Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 58, menganggap kerjaya itu semakin dilupakan dan kurang mendapat tempat.

Kecewa dengan apa yang berlaku, kartunis berpengalaman lebih 40 tahun itu menggesa agar pembaharuan segera dibuat pihak kerajaan untuk tampil menyediakan peluang kerjaya.

"Sepatutnya kementerian kena sediakan satu saluran televisyen khas untuk rancangan kartun animasi tempatan.

"Kalau di Amerika Syarikat mereka ada stesen televisyen yang memang khas untuk animasi tempatan, tapi di Malaysia mana ada, kita sebenarnya ada ramai pelapis berbakat tapi tak ada platform untuk bakat mereka berkembang.

"Yang banyak dimainkan semuanya kartun luar negara sebab kos siaran mereka lebih murah, saya faham bila mana karya tempatan ni memang akan dikenakan harga tinggi tapi siapa lagi nak bantu rakyat sendiri kalau bukan kita," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Ujang kini masih bergiat aktif menerbitkan karya lucu tersebut secara digital dan animasi siri di laman sosial.

Tidak lagi mengeluarkan siri majalah komik, perubahan itu dilakukan seiring dengan kemajuan teknologi yang kini lebih mengutamakan penggunaan platform digital.

Malah menurutnya, cara itu perlu dipraktikkan pelukis generasi baharu yang mahu menceburkan diri dalam lukisan komik kerana jualan secara fizikal tidak membawa keuntungan seperti dahulu kala.

"Sekarang peluang lebih mudah sebab ada kemudahan media sosial, jadi buat kartunis muda di luar sana boleh cuba kembangkan bakat secara digital, tak perlu lagi cari penaja daripada pihak ketiga dan sebagainya.

"Konsepnya sama macam pencipta kandungan (content creator), kreativiti dan bakat yang ada boleh terus dikembangkan di media sosial, cuma kena la belajar untuk mahir selok-belok digital," ujarnya.

Enggan industri komik negara terus terkubur, Ujang bersama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) dan Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK) bakal mengadakan sebuah Pameran Animasi di Muzium Negara, Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Jelasnya, sebuah bengkel lukisan komik dan program 'Mencari Kartunis Yang Hilang' juga akan diadakan pada hari tersebut sebagai inisiatif untuk terus mengangkat kerjaya itu di persada negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram