
SEBUTIR bom peninggalan Perang Dunia Kedua telah selamat diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kinarut, Sabah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka mengesahkan letupan itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.
Terdahulu, bom tersebut ditemukan beberapa pekerja binaan ketika melakukan kerja pembersihan di tapak pembinaan berhampiran Lok Kawi Plastic Industries di Kinarut pada Selasa.
BACA LAGI: Misteri terjawab, mayat Hud Aryan ditemukan tersangkut pokok
"Setelah mengeluarkannya dengan teliti dari dalam tanah, pekerja terbabit menyedari ia adalah bom lama dan segera memaklumkan hal itu kepada pihak polis.
"Sepasukan polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan terhadap penemuan bom tersebut," katanya.
Hasil siasatan dijalankan, Unit Pemusnah Bom mengesahkan bahan letupan itu masih aktif dipercayai merupakan tinggalan Perang Dunia Kedua.
"Semasa proses letupan dijalankan, sebagai langkah berjaga-jaga beberapa laluan di sekitar kawasan itu ditutup sementara dan Jabatan Kereta Api dimaklumkan untuk menangguhkan operasi," tambahnya.
Satu pengumuman khas dimaklumkan kepada penduduk manakala beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan Awam, Elektrik Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat diarahkan untuk menyelaraskan langkah keselamatan.
"Sekiranya sesiapa terjumpa objek mencurigakan diminta melaporkannya segera kepada polis dengan menghubungi talian 088-912222 atau hadir di balai polis berhampiran," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram