
LEBIH dikenali sebagai pelawak dan penghibur tanah air, namun siapa sangka pesona dimiliki anak kelahiran Masai, Johor ini mula berkecimpung dalam bidang muzik era 90an.
Joey Daud, 50 atau nama sebenarnya Zulkifli Daud memulakan karier seninya sebagai seorang penyanyi kumpulan Mistaken Identify satu ketika dahulu.
Banyak beraksi di majlis perkahwinan dan jemputan acara di sekitar Masai, penyertaan kumpulan itu dalam pertandingan Battle of The Band pada 1992 melonjakkan karier seninya apabila ditawarkan sebagai artis solo di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd.
Pencapaian itu sekali gus menyaksikan Joey merupakan penyanyi pertama menandatangani kontrak di bawah syarikat milik penyanyi tersohor, Datuk M Nasir itu.
Di bawah Luncai Emas, Joey sempat menghasilkan dua album iaitu Beradu Suratan pada 1994 dan Joey (1996) selain turut pernah mengganggotai kumpulan Exists sebagai vokalis pada 2008 hingga 2014.
Memasuki tahun 2000, penyanyi bersuara serak basah itu mencuba nasib terjun ke dalam bidang lakonan menerusi filem pertamanya, Cinta Yang Satu (2007).
Sejak itu, penampilannya lebih banyak menghiasi kaca televisyen sebagai pelakon, pelawak dan pengacara yang cukup diminati ramai.
Pertukaran karier itu turut menyaksikan perubahan perwatakannya yang kini lebih gemar melawak dan menghibur di pentas persembahan.
Maka tidak hairanlah jika ada golongan peminat yang masih tidak mengetahui bahawa Joey merupakan seorang penyanyi bimbingan sifu M Nasir satu ketika dahulu.
Joey mula menempa nama dalam industri sebagai seorang penyanyi.
Pernah diberi jolokan artis versatil negara, bakatnya dalam seni lukisan dan contengan mural antara yang paling memberikan impak kepada industri.
Lukisan mural dihasilkan di sekitar bandar Muar, Johor sebelum ini meraih perhatian masyarakat yang cukup meminati hasil seni pelakon filem Manap Karaoke itu.
Malah, Joey turut diberikan penghargaan apabila menerima tempahan sebanyak 15 lukisan mural daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 2022.
Joey bersama salah satu hasil lukisan muralnya.
Sehingga kini, legasi seni Joey kekal mewarnai industri hiburan tanah air menerusi karya lakonan mahupun nyanyiannya yang pernah hit satu ketika dahulu.
Meskipun kini lebih dikenali dengan imej sebagai pelawak, Joey tidak mensia-siakan bakat dan pengalaman dimiliki dalam bidang nyanyian apabila menyertai program realiti Famili Duo 4 baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram