
KEMUNCULAN buaya di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga awam.
Baru-baru ini, haiwan tersebut dilihat di Pantai Cermin dan beberapa pantai lain di kawasan tersebut.
Lebih membimbangkan, reptilia itu muncul semasa orang ramai memenuhi pantai berkenaan untuk mandi-manda dan beriadah.
BACA LAGI: Jaga sejak kecil, ibu tiri berhak tuntut hak penjagaan anak tiri? peguam syarie perjelas situasi
BACA LAGI: 150 ahli Gasing Rangers bergotong-royong, kutip 450kg sisa sampah di Bukit Gasing
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya mendapati haiwan tersebut sering berkeliaran di merata-rata tempat.
Oleh itu, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan perangkap sudah dipasang untuk menangkap reptilia tersebut.
"Apa yang membimbangkan, buaya ini timbul di pantai Port Dickson ketika orang mandi dan situasi ini menimbulkan kebimbangan orang ramai.
"Malah, ada yang berpendapat kehadiran buaya di pantai Port Dickson bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun pihak kami tetap bimbang dan akan bertindak malah sudah pun memasang perangkap di Pantai Cermin sejak dua minggu lalu," jelasnya.
Faizal Izham turut berkata yang menerusi aduan orang ramai, buaya tersebut turut dilihat berhampiran dengan Hotel Thistle.
Akan tetapi, berdasarkan video yang tular, lokasinya mungkin berbeza-beza dengan apa yang dilaporkan.
"Setakat ini, saya dimaklumkan kita hanya menerima aduan mengenai kehadiran haiwan terbabit di pantai berhampiran Hotel Thistle sahaja.
"Namun, merujuk kepada video yang tular, kami akan mengenal pasti lokasinya terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram