Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja


  • Hiburan
  • Rabu, 22 Jan 2025

Watak Zurina dalam komik Aku Dia & Volkswagen diinspirasikan daripada perwatakan pelakon veteran popular, Eja.

KOMIK Aku, Dia & Volkswagen merupakan antara naskhah popular era 90-an yang cukup ikonik dalam kalangan generasi terdahulu.

Lebih 20 tahun siri itu terhenti ekoran isu pemilikan hak cipta, kini ia bakal disambung semula bagi mengubati kerinduan peminat yang sekian lama ternanti kesudahan kisah percintaan yang ditampilkan dalam komik berkenaan.

Penulisnya, Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar, 49, atau lebih dikenali sebagai Kartunis Ubi mengumumkan hal itu menerusi hantaran di Facebook yang menurutnya bakal menjadi pengakhiran menarik buat pengikut setia komik tersebut.

BACA LAGI: Lebih 20 tahun komik tergantung, fans 'Aku, Dia & Volkswagen' desak kisah penamat diangkat ke layar perak

BACA LAGI: Pernah dinobat Pelakon Wanita Terbaik FFM, hos Roda Impian kini usahawan sambal disegani

Namun, di sebalik keterujaan peminat, ramai yang bertanya siapakah individu sebenar di sebalik watak utamanya, Zurina yang satu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan pembaca lelaki.

WhatsApp-Image-2025-01-17-at-3.08.31-PM-e1737100031570

Kartunis Ubi merupakan antara pelukis komik popular era 90-an.

Berperwatakan lembut dan ayu bak wanita Melayu terakhir, Ubi mendedahkan kisah sebenar di sebalik watak tersebut yang menjadi fenomena sebelum ini.

"Sebenarnya Zurina tu ibarat crush zaman muda remaja dulu. Biasalah semua lelaki ada imaginasi wanita macam mana yang kita mahukan sebagai pasangan.

"Masa kecil dulu kakak saya ada ramai kawan perempuan, jadi apabila selalu terserempak, ada la antara karakter mereka yang saya minat, jadi saya himpunkan kesemua satu persatu sehingga jadi watak Zurina dalam komik saya.

"Kalau kata inspirasi daripada artis, Zurina tu saya ilhamkan banyak daripada pelakon Eja (Siti Shahrizah Saifuddin) yang dahulu memang terkenal, penampilan dia pun lembut dan boleh kata idaman ramai lelaki," katanya kepada Majoriti.

Turut memasang impian untuk mengangkat naskhah itu sebagai drama televisyen, Ubi menjelaskan sebelum ini dia pernah beberapa kali dilamar syarikat produksi namun tidak berhasil ekoran beberapa faktor penghalang.

553 (2)

Watak Zurina diinspirasikan daripada pelakon popular, Eja.

Katanya, ketika itu, siri Aku Dia & Volkswagen masih belum siap sepenuhnya dan pihak terbabit enggan menanggung risiko menghasilkan drama yang tiada berkesudahan.

"Sekarang saya boleh kata dah sedia untuk angkat kisah komik ini ke drama televisyen, siri semua dah lengkap dan kita boleh saja sebenarnya terbitkan mengikut siri.

"Tapi bergantung juga kepada pihak yang sudi dan hak cipta syarikat (Ujang) sama ada idea ini boleh dilaksanakan ataupun tidak.

"Lagipun kisah komik ni bukan tentang cinta semata-mata, ia mengisahkan perjalanan seorang remaja yang mahu mencari identitinya sendiri, apa yang dipaparkan adalah realiti perjalanan hidup kita," tambahnya.

Dalam pada itu, Ubi mendedahkan episod kesinambungan Aku Dia & Volkswagen sedang dalam pembikinan dan bakal menemui noktahnya dalam masa terdekat.

Lebih 10 jilid lagi masih belum dilancarkan dan siri berkenaan akan disiarkan bermula pertengahan Februari kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram