SEBUT sahaja kartun animasi Doraemon, senyuman pasti terukir di wajah setiap lapisan masyarakat Malaysia yang boleh dikatakan amat sinonim dengan watak kucing robot berwarna biru itu.
Telatah serta gelak tawa dalam siri kartun Jepun itu amat digemari ramai terutamanya golongan kanak-kanak mahupun dewasa.
Tak lapuk ditelan dek zaman, Doraemon masih meraih tontonan sehingga ke hari ini di samping lagu runut bunyinya yang kekal menjadi siulan ramai.
BACA LAGI: Pemilik suara latar Nobita dalam 'Doraemon' meninggal dunia ketika umur 88 tahun
BACA LAGI: [VIDEO] Cuaca panas melampau, penduduk Bangkok guna anak patung Doraemon dalam upacara panggil hujan
Persembahan teater kanak-kanak diadaptasi daripada kartun Doraemon tular di media sosial.
Turut mempengaruhi generasi muda untuk mempelajari bahasa Jepun sebagai bahasa pertuturan, runut bunyi kartun animasi itu dianggap sebagai permulaan baik bagi mereka yang berminat mendalami bahasa negara Matahari Terbit itu.
Perkara itu disokong kuat seorang guru Bahasa Jepun yang bertugas di sebuah akademi bahasa, Dream Language Academy.
Jelas salah seorang tenaga pengajar merangkap direktor dalam akademi itu, Ahmad Mubin, 35, bersetuju dengan kenyataan tersebut yang menurutnya mampu membantu seseorang itu lebih mudah mendekati bahasa Jepun.
“Tak nafikan memang lagu Doraemon antara pendedahan awal untuk masyarakat mengenali bahasa Jepun, bahkan memang ada lirik yang telah disediakan dalam bahasa Malaysia.
“Tak salah kalau kita kata lagu Doraemon sebagai modul pertama buat pelajar, saya sendiri ada gunakan teknik nyanyian dan mainkan lagu Doraemon dalam kelas, ia memang berkesan untuk peringkat awal.
“Tapi perlu kita tahu bahawa bahasa Jepun ni ada banyak peringkat, kalau untuk peringkat pengenalan boleh la kita gunakan lagu sebagai modul tetapi untuk lebih mendalam kena ikuti kelas yang lebih khusus,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa pasaran pekerjaan ketika ini amat memandang tinggi pada seseorang yang berkebolehan bertutur lebih daripada satu bahasa terutamanya Jepun.
Tambahnya, dahulunya masyarakat lebih mengutamakan bahasa Mandarin tetapi kini, Jepun dan Korea memiliki keistimewaannya tersendiri dengan kadar gaji yang lebih tinggi.
Video dimuat naik di laman sosial Dream Language Academy berkaitan kadar gaji bagi individu berkebolehan menguasai bahasa Jepun.
“Bahasa Jepun dan Korea berada di tahap yang berbeza berbanding Mandarin, gaji mereka sebagai penterjemah misalnya lebih tinggi dan mahal.
“Sebab itu ramai anak muda sekarang berminat untuk mempelajari bahasa Jepun dan menjadikannya sebagai kerjaya.
“Tapi sayangnya di peringkat universiti, kelas Bahasa Jepun sekadar pelengkap silibus bidang diceburi dan tidak dijadikan sebagai satu kursus khas untuk dijadikan kerjaya, itu yang kami di Dream Language Academy cuba beri pendedahan pada orang ramai betapa pentingnya menguasai bahasa tersebut,” ujarnya.
Untuk rekod, animasi Doraemon pertama kali bersiaran pada 1970 sebelum berjaya menembusi pasaran dunia menerusi beberapa filem yang diadaptasi daripada komik tulisan Fujiko F. Fujio.
Kemuncak populariti Doraemon adalah ketika ia dipilih sebagai duta rasmi Olimpik Tokyo 2020 dan penghormatan itu sekali gua meningkatkan statusnya sebagai karakter kartun paling ikonik di Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram