Penggemar, kolektor permainan video asal Cheras tukar hobi jadi kerjaya menjanjikan


  • Bizz
  • Rabu, 04 Sep 2024

Koleksi Kyo telah bertambah dengan begitu banyak sehingga dia kini mempunyai lebih 3,500 permainan, menjadikannya satu cabaran sebenar untuk memastikan semuanya berada di dalam rumah.

DALAM dunia permainan video, pengumpul atau lebih dikenali sebagai 'kolektor' sememangnya tergolong dalam kumpulan pencinta tegar barangan permainan tersebut.

Lebih daripada sekadar bermain permainan, golongan ini cukup gemar terhadap proses pencarian barangan langka, nostalgia memegang konsol klasik, dan turut berbangga dengan koleksi dimiliki yang pastinya disusun dengan rapi.

Bagi mereka, setiap kartrij atau pita video, cakera padat dan konsol mempunyai kenangan yang cukup bermakna dan turut menjadi bukti terhadap evolusi dialami dunia permainan video terbabit.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Lepas tembusi pasaran hampir 30 negara, John ada misi jadikan Hausboom syarikat minuman terbesar negara

Azlil Shah Shaharuddin datang daripada komuniti pengumpul permainan video yang penuh dengan minat dan keunikan tersebut.

Lebih mesra dikenali sebagai Kyo, pemuda berusia 37 tahun ini berjaya mengubah minat zaman kanak-kanaknya terhadap mainan Nintendo menjadi sumber pendapatan yang stabil, dan seterusnya memberi kegembiraan kepada penggemar permainan itu di seluruh Malaysia.

Sejak 2007, Kyo’s Game Mart telah menjadi tempat yang cukup dikenali dalam peminat Nintendo dan penggemar permainan video.

Dengan gabungan unik klasik nostalgia dan inovasi permainan terkini, perniagaan kecil diusahakan Kyo adalah contoh yang jelas terhadap apa yang boleh tercapai hasil daripada dedikasi dan cinta terhadap sesuatu minat.

Sejak 17 tahun lalu, Kyo tidak berasakan keperluan untuk beroperasi di kedai fizikal.

Sebaliknya, beliau memilih untuk berniaga pada hujung minggu di pasar lambak, Amcorp Mall di Petaling Jaya, Selangor, serta menjual barang-barangnya di platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada.

“Saya tidak pernah mempunyai kedai fizikal. Tidak pernah ada keperluan untuk melakukannya. Saya membina perniagaan saya secara perlahan-lahan sepanjang tahun,” kongsi Kyo menerusi satu temu bual baru-baru ini di rumah merangkap ruang kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.

Kediamannya itu turut berfungsi sebagai tempat simpanan dan pameran koleksi dan sejarah permainan video yang sangat dibanggakan.

Kecintaan Kyo terhadap permainan video bermula pada usia enam tahun, selepas menerima hadiah daripada ayahnya – klon Micro Genius dari konsol Nintendo Entertainment System – yang terus mencetuskan obsesinya terhadap permainan itu sehingga hari ini.

“Saya mula bermain permainan semasa saya di tadika kerana saya berjaya dalam peperiksaan tadika saya!” ujar Kyo sambil ketawa ketika mengingatkan detik permulaan yang membentuk minatnya itu.

Zaman kanak-kanaknya penuh warna dengan barangan mainan seperti Super Mario, Street Fighter, dan banyak lagi tajuk permainan ikonik lain dengan semuanya dimainkan di konsol yang sederhana itu.

6246984766612160292

Hadiah – konsol permainan – daripada ayahnya ketika dia baru berusia enam tahun mencetuskan minat Kyo terhadap permainan video yang kekal sehingga hari ini.

Ayahnya mungkin tidak pernah tahu bahawa pengenalan awal kepada permainan video ini akan membentuk masa depan Kyo dengan cara yang tidak dijangka.

“Ayah mungkin menyesal dengan keputusan itu kerana pada satu ketika, ayah akan sangat risau tentang kesihatan saya; bahawa saya menghabiskan terlalu banyak masa bermain permainan, dan ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi!” ujarnya.

Berada di persimpangan

Di sebalik kecintaannya yang mendalam terhadap permainan video, seperti kanak-kanak lain, Kyo turut mengikut laluan yang lebih konvensional, dipengaruhi oleh kerjaya ayahnya.

“Semasa saya di Universiti Multimedia, saya belajar perbankan dan kewangan kerana ayah saya adalah seorang pengurus bank. Saya sentiasa menjadikan ayah saya sebagai contoh; dia adalah idola saya,” Kyo berkongsi, sambil menambah bahawa dia mendapat biasiswa daripada Bursa Malaysia dan memulakan karier selama lima tahun dalam dunia korporat.

Namun, kehidupan korporat tidak pernah memadamkan semangatnya terhadap permainan video.

Malah, sebelum bekerja dalam bidang korporat, iaitu ketika masih menjadi pelajar universiti pada 2007, Kyo telah mula menjual permainan Nintendo secara dalam talian.

Langkah berani itu kemudiannya membuahkan hasil melalui kelahiran Kyo’s Game Mart.

“Saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya mungkin boleh mula menjual permainan Nintendo. Saya juga bertemu dengan mereka yang sudah mengedarkan konsol Nintendo DS dan Wii di negara ini dan bertanya kepada mereka jika saya boleh memulakan kedai dalam talian.

“Ini adalah waktu semasa Shopee masih belum wujud. Jadi saya memulakan perkara itu di forum Lowyat.Net. bersama beberapa penjual lain, kami bermula di platform tersebut dan 17 tahun kemudian, saya masih di sini.”

Kyo’s Game Mart adalah perniagaan diusahakan Kyo secara seorang diri yang didorong oleh semangat dan tekad yang tulen.

Ia termasuk penganjuran pelancaran Pokemon terbesar di Malaysia pada 2014, yang menjana RM100,000 dalam masa enam jam sahaja, hingga berkolaborasi dengan Video Games Live pada 2016.

6246984766612160293

Antara koleksi Kyo ialah konsol permainan, Star Wars Darth Vader PS4 edisi terhad.

Sementara itu, reruai setiap hujung minggu yang dibuka di Amcorp Mall turut berjaya bertahan selama lapan tahun dan seakan-akan sudah menjadi tapak wajib dilawati oleh penggemar permainan video.

“Anda akan menemui saya di sana setiap hujung minggu. Dahulu, saya mempunyai rakan kongsi saya yang dikenali sebagai The Zendersons, yang biasanya mengendalikan barang-barang retro seperti PlayStation, sistem Nintendo lama, dan Game Boys sementara menguruskan permainan dan konsol yang lebih terbaharu," kata Kyo.

Perkongsian kepakaran dan minat itu membolehkan kedua-dua mereka terus berkembang di sebalik pasaran jualan alat permainan yang semakin kompetitif.

Sehingga hari ini, walaupun mereka sudah mengambil keputusan untuk beroperasi secara secara berasingan, kedua-duanya masih tetap menjadi sahabat baik.

Bagi Kyo, permainan video lebih daripada sekadar perniagaan; ia adalah perjalanan yang sangat peribadi.

Koleksinya, yang disusun dengan teliti selama bertahun-tahun, termasuk khazanah langka seperti koleksi lengkap siri Yakuza menjadi satu koleksi yang tidak akan pernah dia terfikir untuk lepaskan dan jual.

Koleksi Yakuza yang dikenali sebagai Ryo Ga Gotoku di Jepun dan atau turut dipanggil Like A Dragon di tempat lain, adalah francais permainan video yang dicipta, dimiliki dan diterbitkan oleh Sega.

6246984766612160294

Kyo juga mempunyai simpanan alat perkakasan, termasuk konsol lama dan item langka termasuk runut bunyi, buku seni, figura, gelas dan juga sepasang cermin mata penglihatan malam.

“Boleh dikatakan siri Yakuza adalah koleksi terbaik daripada saya. Ia telah menjadi kegemaran saya sejak saya pertama kali bermain permainan itu pada 2003/2004 di PS2.

"Saya telah mengikuti siri ini dengan setia; mereka telah membuat lapan permainan utama dan beberapa spin-off. Ini adalah satu koleksi yang saya tidak akan pernah tinggalkan,” katanya dengan penuh semangat.

“Namun, jika ada seseorang yang ingin membeli semuanya yang saya ada, saya dengan gembira akan menjualnya dengan harga RM4 juta,” katanya secara berseloroh, merujuk bagaimana semua kolektor masing-masing mengharapkan 'momen Super Mario 64' mereka sendiri.

Pada 2021, Super Mario 64 menjadi permainan video pertama dijual dengan harga lebih daripada AS$1 juta (RM4.63 juta).

Seorang pembida tanpa nama memenangi edisi 1996 yang sempurna dengan harga AS$1.56 juta, menurut Heritage Auctions. Jadi, seseorang boleh bermimpi!

Mutiara sebenar komuniti permainan video

Kyo mengambil pendekatan berpaksikan komuniti dalam menjalankan perniagaannya.

Dia telah membina rangkaian pengumpul dan penggemar yang cukup ramai dan berkongsikan minat sama.

“Ada satu keajaiban yang berlaku; saya berjumpa dengan pemain yang datang ke reruai saya yang saya tidak pernah berjumpa sebelum ini, tetapi apabila saya memulakan perbualan, mereka terus seakan-akan tidak canggung untuk berbual," kata Kyo.

Rasa kebersamaan yang dirasai itu menurutnya lebih daripada sekadar hanya satu transaksi.

Ia adalah tentang membina hubungan dan persahabatan yang sering kali bertahan lebih lama daripada permainan video itu sendiri.

“Orang fikir pemain adalah introvert, tetapi itu adalah tanggapan yang salah. Apabila anda menemui kumpulan yang memiliki jiwa dan minat serupa, keajaiban berlaku,” ujarnya.

Pada masa sama, Kyo berkata, dalam perniagaannya itu, dia juga turut berpeluang berinteraksi dengan pembeli dari luar negara.

“Saya menjual beberapa barang di eBay kerana di Asia atau Malaysia, kami kadang-kadang mendapat barangan yang tidak dikeluarkan di tempat lain, dan pembeli antarabangsa selalu berminat dengan barang-barang ini,” jelasnya sambil turut menunjukkan salinan Like A Dragon Gaiden: The Man Who Erased His Name, yang dikeluarkan secara eksklusif sebagai versi fizikal di Asia, dengan pilihan bahasa Inggeris dan Jepun.

6246984766612160295

Bagi Kyo, permainan video adalah lebih daripada sekadar perniagaan kerana ia adalah satu perjalanan yang sangat peribadi.

Namun, Kyo berkata, sama seperti perniagaan lain, perjalanannya sebagai usahawan turut berdepan dengan cabaran terutamanya ketika tahun-tahun awal pembabitannya khususnya daripada segi jaminan kewangan.

"Saya katakan pada masa itu, apabila saya meninggalkan pekerjaan korporat, saya tidak mendapat banyak pendapatan; saya tidak akan menyebutnya sebagai gaji minimum, tapi setelah dikira dengan teliti, saya memperoleh sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan,” kongsinya.

Namun, melalui ketabahan dan kecintaan mendalam terhadap permainan video termasuk usahanya membuat pembelian dan jualan, Kyo berjaya mengharungi rintangan tersebut dan membina perniagaan tersebut yang mampu berdaya tahan dan menyokong keluarganya sehingga hari ini.

“Lama kelamaan, saya mula memperoleh sumber pendapatan lebih terjamin, dan semakin jauh saya pergi dalam perniagaan ini, semakin ramai orang mengenali saya dan perniagaan ini.

"Orang mula mencari saya – bukan sahaja pelanggan tetapi pembekal juga. Mereka akan menghubungi saya dan melihat jika saya berminat untuk bekerjasama dengan mereka atau mengambil mereka sebagai pembekal saya.

"Dan dari situ, saya berkembang dan berkembang. Saya mula mendapat bekalan yang begitu banyak sehingga sukar untuk menyimpan semuanya di rumah saya – satu masalah yang masih saya hadapi!” ujarnya.

Selain daripada lebih 3,500 salinan permainan, Kyo juga mempunyai simpanan alat permainan termasuk konsol lama - Kyo turut mahir membaiki barang - barangan istimewa termasuk runut bunyi, buku seni, patung, gelas, tumbler dan sepasang cermin mata penglihatan malam.

“Semuanya masih dalam kotak mereka dan tidak dipamerkan buat masa ini kerana kekurangan ruang. Saya berharap dapat memperbaikinya sebaik sahaja anak-anak saya mencapai usia di mana mereka dapat menghargai barang-barang ini.

"Buat masa ini, saya mempunyai dua anak lelaki yang sangat aktif," ujarnya.

Walaupun sedang berdepan dengan tuntutan menjaga dua anak kecil dan menjalankan perniagaan, Kyo masih mempunyai masa untuk menikmati hobi kegemarannya.

“Sebelum ada anak, saya pastinya mempunyai lebih banyak masa. Saya akan bermain permainan empat hingga lima jam setiap hari. Isteri saya hampir berputus asa dengan saya!” seloroh Kyo.

Kini, masa bermainnya lebih singkat tetapi sedikit pun mengurangkan keterujaannya terhadap hobinya itu.

Permainan video kegemarannya ketika ini adalah Hades, yang dikeluarkan di Nintendo Switch pada 2020.

Beliau akan bermain permainan video itu pada waktu tenang ketika anak-anaknya sedang tidur.

Meneruskan legasi keseronokan bermain

Kisah Kyo adalah bukti bagaimana minat seseorang individu boleh bertukar menjadi sesuatu yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka,

Daripada seorang kanak-kanak yang bermain konsol klon hingga menjadi pemilik perniagaan kecil dan kolektor dihormati dalam komuniti permainan, perjalanannya adalah satu inspirasi bagi usahawan yang bercita-cita tinggi.

Nasihatnya untuk mereka yang baru hendak bermula adalah agar terus berusaha mengejar apa yang diminati.

“Tabah. Teruskan perjalanan. Bagi saya, ia sentiasa menjadi pendakian yang sangat perlahan, sukar dan curam untuk sampai ke tempat saya hari ini.

“Jika anda tidak boleh menerima itu, maka ini mungkin bukan cara terbaik untuk anda, tetapi jika anda bersedia untuk terus mencuba, maka berikan segala-galanya,” ujarnya.

6246984766612160296

Walaupun dia tidak mempunyai banyak masa untuk bermain, Kyo merasakan dia tetap perlu terus bermain untuk merasai pengalaman sebenar dan memberikan pandangan yang betul kepada pengumpul sejati lain yang sepertinya.

Kecintaan Kyo terhadap permainan video juga timbul daripada fasa yang dialaminya ketika di peringkat awal beliau terbabit hobi berkenaan.

Pada waktu itu, beliau berkata, usaha mendapatkan permainan video atau konsol bukanlah mudah seperti sekarang.

“Satu kisah yang selalu saya ceritakan kepada orang ramai adalah bagaimana pada tahun 1999, saya yang ketika itu berusia 12 tahun sedang menabung untuk membeli PS1; saya akan menyimpan semua wang saku kira-kira RM2 sehari.

"Saya juga perlu membuktikan kepada ayah saya bahawa saya cukup bertanggungjawab untuk memilikinya. Pada dasarnya, saya perlu mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan UPSR saya, dan apabila ayah saya memberi kebenarannya, saya melompat kegembiraan!

"Ia adalah satu saat yang sangat bermakna bagi saya, dan sejak itu, saya benar-benar percaya bahawa jika anda benar-benar mahukan sesuatu dan anda memberi tumpuan serta bekerja keras untuknya, anda boleh memilikinya!” ujarnya.

Kyo juga berkongsi kisah tentang sebuah keluarga dari Muar, Johor yang datang ke reruainya di Amcorp Mall tahun lalu untuk membeli PS4.

“Saya menunjukkan kepada mereka apa yang saya ada dan memberitahu mereka berapa harganya.

“Ada tiga orang anak, dan apabila mereka sudah bersedia untuk membayar, saya mendapat koleksi terbesar wang kertas satu ringgit yang pernah saya lihat! Saya tidak sangka ada orang yang mempunyai tabung seperti itu pada 2023.

"Tetapi apabila saya melihat anak-anak itu, saya melihat diri saya yang berusia 12 tahun dari tahun 1999, dan itu sangat nostalgik.

“Saya suka hakikat bahawa mereka pada dasarnya menyimpan semua wang belanja sekolah mereka atau melakukan kerja rumah untuk menabung membeli PS4. Ayah mereka lebih daripada gembira untuk melengkapkan tabungan mereka supaya mereka boleh mendapatkan konsol itu!” kongsinya.

Kyo berkata bahawa detik-detik sedemikian adalah antara kenangan indah yang sering ditemuinya sejak terbabit dalam perniagaan permainan video.

“Mungkin sesetengah kanak-kanak, adalah mudah untuk membeli barang-barang hari ini. Tetapi usaha yang dilakukan oleh anak-anak dari Muar itu untuk menabung demi sesuatu yang mereka benar-benar inginkan sangat hebat," ujarnya. — The Star/ANN MARIE CHANDY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram