PM Anwar-Ahmad Zahid ucap tahniah kejayaan Liek Hou di Paris


  • Podium
  • Selasa, 03 Sep 2024

Liek Hou meraih dua pingat emas berturut-turut pada temasya Paralimpik dalam kategori badminton SU5.

PENANTIAN negara untuk meraih pingat emas pertama dalam temasya Paralimpik 2024 berakhir selepas pemain badminton, Cheah Liek Hou mencatatkan kemenangan dalam perlawanan akhir perseorangan kategori SU5 pada Isnin.

Dia yang bertemu wakil Indonesia, Suryo Nugroho berjaya mempertahan pingat yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun hasil kemenangan straight set 21-13, 21-15.

Kejayaan itu sudah tentu menerima pujian tidak henti daripada peminat sukan tanah air yang cukup berbangga dengan persembahan atlet berusia 36 tahun berkenaan.

BACA LAGI: 'Smash' padu Cheah Liek Hou tuai emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik 2024

BACA LAGI: Paralimpik Paris: Liek Hou, Fareez Anuar tempah slot separuh akhir lebih awal

Cropped-1671010710photo_SXM2022121100007657

Anwar (kanan) dan Ahmad Zahid mengucapkan tahniah buat Liek Hou.

Malah, ia turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat memberikan kata-kata penghargaan buat Liek Hou menerusi hantaran di akuan X peribadinya.

"Kita beroleh pingat emas pertama di Paralimpik 2024! Lebih membanggakan kerana saudara Cheah Liek Hou berjaya mempertahankan pingat emas yang dirangkul pada Paralimpik lalu. Tahniah! Saudara mengharumkan nama Malaysia di persada dunia," tulisnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut tampil memberikan pujian buat pemain berkenaan yang berjaya menaikkan lagi nama negara di mata dunia.

"Tahniah saya ucapkan kepada jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou atas kejayaan meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024.

GWhSfACbwAATPeq

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan tahniah buat Liek Hou atas kejayaannya. Facebook/Ahmad Zahid Hamidi

"Kemenangan Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 ini bukan sahaja mengulangi kejayaannya di Paralimpik Tokyo 2020, tetapi juga membuktikan bahawa Malaysia memiliki atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia," tulisnya.

Dalam edisi yang lalu, pemain badminton para negara itu menumpaskan seorang lagi wakil Indonesia, Dheva Anrimusthi dengan ia merupakan emas pertama baginya.

Jadi, dua kejayaan berturut-turut itu sudah tentu menjadi pemangkin buatnya serta negara untuk terus melahirkan lebih ramai atlet, termasuk dalam dunia sukan Paralimpik.

Selain Liek Hou, seorang lagi atlet negara berjaya mengharumkan nama di bumi Paris apabila Eddy Bernard meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter pecut lelaki kategori T44.

Kontinjen negara juga berpeluang meraih satu lagi gangsa dalam acara badminton, namun Muhammad Fareez Anuar tewas dalam aksi penentuan kepada Anrimusthi yang juga berlangsung pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram