USAHA memperkasa penggunaan pengangkutan awam di Malaysia dilihat tidak pernah berhenti bagi mencapai aspirasi 40 peratus kebergantungan medium itu di seluruh negara menjelang 2030.
Selari dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terhadap Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas dapat mengurangkan pencemaran udara sekali gus menjadi antara langkah untuk mempromosikan lokasi tarikan menarik di Malaysia.
Langkah sama yang dilakukan di Selangor dengan menjadikan Bas Smart Selangor sebagai medium promosi utama sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Bas Smart Selangor dijadikan sebagai medium promosi sempena Tahun Melawat Selangor 2025. — The Star
Kempen tersebut melibatkan sebanyak 50 buah bas untuk mempromosikan sembilan daerah di negeri itu.
Laluan Bas Smart Selangor itu turut melalui tempat tarikan pelancongan antaranya Sunway Lagoon Theme Park, Kajang Once Upon A Time Heritage Walk dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, SS15 Subang Jaya serta Avani Sepang Goldcoast Resort.
Bercerita lanjut tentang penggunaan bas, seorang penulis buku bernama Lam Ching Fu boleh dikatakan antara individu yang menyokong usaha tersebut.
Dia pada masa sama mengambil peluang untuk berkongsi keterujaannya meneroka beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dengan pengangkutan awam itu.
Dalam siri kedua buku My Journer By Bus diterbitkannya sejak Oktober 2020, dia yang lebih mesra dipanggil Fufu teruja berkongsi pengalamannya bercuti ke negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu menaiki bas.
Siri buku yang diterbitkan oleh Fufu untuk berkongsi perjalanannya bercuti menaiki bas. — Instagram/Fufu
Siri tersebut juga menceritakan perjalanannya ke 37 pekan dan kampung di Mentakab, Sungai Lekok, Kuala Lipis, Pahang; Marang, Dungun, Terengganu; Gua Musang dan Kota Bharu, Kelantan melalui gambar, peta, ilustrasi dan penulisan ringkas seperti diari.
Mengetahui latar belakangnya, lelaki berusia 43 tahun itu sanggup meninggalkan bidang kejuruteraan untuk memenuhi impiannya menjelajah dengan bas lapan tahun lalu.
Fufu merupakan graduan lepasan bidang Kejuruteraan dan Alam Sekitar di Universiti Hiroshima, Jepun dan menetap di negara itu selama lima tahun serta pernah melancong ke Singapura, Jerman dan Brazil sebelum pulang ke tanah air tercinta sejak 2015.
Anak jati Malaysia yang masih mempunyai semangat dan kesungguhan itu mengharapkan agar bukunya itu menjadi inspirasi kepada orang ramai dalam mengenal negara ini dengan lebih dekat.
Antara isi penceritaan yang terdapat di dalam siri tersebut dipamerkan di galeri buku. — Instagram/Fufu
Menurutnya, orang awam tidak memerlukan wang yang banyak dan untuk memulakan perjalanan dengan menggunakan bas sebagai pengangkutan utama.
"Contohnya, saya hanya bayar RM7 tambang bas dari Mentakab ke Jerantut, Pahang dan terpesona dengan infrastruktur dan warna-warna bangunan di kawasan itu.
"Terdapat bangunan ungu yang menarik pandangan saya sekali gus menunjukkan identiti tersendiri di daerah tersebut," katanya.
Meneruskan perjalananannya itu, Fufu mendapati reka bentuk pintu, pagar dan tingkap rumah di beberapa kampung di Mentakab dilengkapi dengan jeriji besi sebagai fungsi keselamatan.
Katanya, selain meningkatkan tahap perlindungan terhadap penceroboh, secara estetiknya, ia akan mewujudkan ruang dalaman yang lebih redup apabila disinari cahaya matahari.
Hanya menggunakan pengangkutan awam itu, Fufu juga tidak menyangka akan terpesona dengan keindahan, kejernihan pantai Penarik di Terengganu.
'Rumah Botol' yang dilawatinya ketika berada di Pantai Penarik. — Agensi
Di pantai itu juga merupakan titik permulaan perkenalannya dengan seorang pemilik galeri 'Rumah Botol' digelar Pak Ali atau nama sebenar Tengku Mohd Ali Tengku Mansor yang berusia 77 tahun.
Pak Ali mendedikasikan galeri tersebut hampir 20 tahun untuk mengumpul pelbagai jenis botol warna-warni yang hanyut di pantai dan menjadi antara lokasi tarikan pelancong di pantai tersebut.
"Kami berbual banyak. Saya sangat merendah diri dan terharu kerana lelaki ini dapat melakukan begitu banyak usaha untuk alam sekitar dan mencipta impak yang begitu besar.
"Pak Ali juga yang menggalakkan saya melawat Terrapuri berhampiran kawasan ini. Dia juga meminjamkan saya basikal cucunya supaya saya boleh ke sana tanpa memikirkan banyak masalah," kongsinya.
Terrapuri yang terletak di Kuala Baru, Terengganu adalah sebuah perkampungan peranginan pantai mewah khusus memberi tumpuan kepada pemuliharaan dan pemulihan rumah Melayu klasik Terengganu serta mempunyai 29 rumah antik dengan setiap satunya berusia sekitar 100 tahun.
Terrapuri juga menawarkan peluang pelawat untuk mengamati dan mengagumi ukiran kayu bertaraf dunia Terengganu secara lebih dekat.
Kisah perjalanan menggunakan bas itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa minat Fufu dapat mendedahkan khazanah-khazanah tersembunyi yang ada di Malaysia.
Dengan siri bukunya juga tidak mustahil akan memberi semangat serta galakan kepada rakyat Malaysia untuk lebih seronok menggunakan pengangkutan awam dalam rutin harian. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram