Dilancarkan 3 September hampir sedekad lalu, lagu ‘What Does The Fox Say’ raih 1 bilion tontonan YouTube dalam masa cuma 2 bulan


  • Hiburan
  • Selasa, 03 Sep 2024

Lagu What Does the Fox Say digilai ramai pendengar muzik dari serata dunia satu ketika dahulu.

TARIKH 3 September 2013 mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila lagu What Does the Fox Say nyanyian duo pelawak kelahiran Norway, Ylvis, berjaya mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

Mencapai jumlah satu bilion tontonan di YouTube dalam tempoh dua bulan, cukup untuk membuktikan betapa lagu bergenre pop generik itu mampu menawan hati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kemuncak kejayaan lagu tersebut adalah ketika ia menduduki carta enam teratas di Billboard Hot 100 Amerika Syarikat (AS) selama tiga minggu berturut-turut pada 2013.

BACA LAGI: Baru berjinak karaoke, Angelina Jolie kesepian hampir setengah abad hidup tanpa ‘kawan makan kawan’

BACA LAGI: Tak terlintas berhenti menyanyi, Naufal Azrin hanya serik jumpa orang jenis 'rembat duit'

Menurut laporan Agensi, penulisan lirik lagu itu dibuat tanpa dirancang ketika dua beradik itu sedang memikirkan bunyian haiwan musang.

Idea gilanya untuk menghasilkan lagu daripada bunyi musang membuahkan hasil apabila berjaya menarik minat syarikat produksi Norway yang berpangkalan di New York City, Amerika Syarikat untuk merekodkan lagu tersebut.

Sebaik disiarkan secara rasmi di YouTube pada 13 September 2013, lagu tersebut hanya memerlukan masa selama 35 hari sahaja untuk mencapai 100 juta tontonan.

Tidak cukup dengan itu, gelombang What Does the Fox Say berterusan apabila menjalankan siri jelajah konsert di AS sebelum turut dijemput dalam festival muzik terbesar Asia Mnet Asian Music Awards (MAMA) pada tahun sama.

Turut menjadi siulan dalam kalangan kanak-kanak, lagu tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk buku bergambar yang kemudiannya tersenarai antara buku terlaris di AS menerusi jualan lebih 60,000 unit dalam masa seminggu.

unnamed

Buku kanak-kanak 'What Does the Fox Say' diterbitkan pada 12 Ogos 2013.

Bumi Jepun seolah-olah dilanda demam 'The Fox' apabila lagu itu dijadikan tema dalam pembukaan perlawanan besbol negara terbabit pada 2022.

Pasukan sorak Nippon Ham Fighters menyampaikan lagu tersebut dalam rentak berbeza, sekali gus hangat diperkatakan peminat sukan tersebut

Hingga hari ini, What Does the Fox Say kekal dimainkan di corong radio dan relevan dengan trend muzik semasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram