Pempengaruh wanita kongsi detik dilamar sepupu sendiri, warga maya harap jangan normalisasi


Tidak salah berkahwin sepupu, namun perlu rujuk doktor untuk mendapatkan nasihat bagi mengelakkan risiko kesihatan pada anak kelak. — Gambar hiasan dijana AI/Facebook PHM

PERKONGSIAN seorang pempengaruh wanita mengenai perkahwinan bersama suami yang juga sepupunya, terus menjadi topik perbincangan dalam kalangan warga maya.

Pempengaruh tersebut baru-baru ini memuat naik hantaran menerusi aplikasi Thread miliknya, menceritakan detik pertemuan bersama suami dan bagaimana bibit percintaan itu bermula.

Difahamkan, suami beliau merupakan sepupu daripada keluarga sebelah ibunya, namun kedua-duanya jarang bersua muka sejak dari kecil.

BACA LAGI: [VIDEO] Top 3 menu buka puasa masakan Syamimia suri rumah boleh cuba, tak perlu bersesak ke bazar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bidaah cerita betul', Erma Fatima dedah pernah berada dalam kumpulan jemaah seumpamanya

Beliau kemudian menceritakan momen pertemuan semula, yakni ketika menyambut hari raya di kampung pada satu hari dan diikuti beberapa insiden selepas itu yang akhirnya menyatukan mereka sehingga ke jenjang pelamin.

Perkongsian itu bagaimanapun meraih perhatian ramai dengan rata-ratanya memberikan komen pelbagai terhadap kisah pasangan itu.

Segelintir pihak beranggapan amalan berkahwin sesama sepupu tidak seharusnya dinormalisasikan. — Gambar hiasan

Terdapat segelintir pihak yang beranggapan meskipun berkahwin sesama sepupu adalah normal kerana hukumnya sah, namun amalan itu tidak seharusnya dinormalisasikan.

Menurut dauskamaruzaman, ini kerana ia berisiko mendatangkan lebih banyak keburukan pada masa hadapan.

"Jadikan kisah ini sebagai bacaan sahaja ya, jangan jadi ikutan sebab banyak kesan akan berlaku lagi-lagi kepada generasi akan datang," tulisnya.

Namun tidak kurang juga yang menyokong tindakan pencipta kandungan itu untuk berkongsi tentang perjalanan hidupnya di media sosial.

"Biarlah dia kahwin dengan sepupu sendiri pun. Anak jadi OKU (orang kelainan upaya) itu ketentuan ALLAH SWT. Yang tak kahwin dengan sepupu pun anak boleh jadi OKU juga.

"Tengok anak (pempengaruh tersebut) okey saja normal. Bersopan santun pula tu," luah nadkhnfi.

Sementara itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook turut berkongsi bahawa perkahwinan antara sepupu adalah sah dan dibenarkan dari sudut agama. Tapi dalam dunia perubatan ia datang dengan risiko yang tidak boleh diabaikan.

"Apabila dua individu mempunyai pertalian darah, mereka mungkin membawa gen sama dan ini boleh meningkatkan risiko anak mewarisi penyakit genetik seperti thalassemia, gangguan metabolik atau kecacatan perkembangan.

"Risiko ini tak nampak sekarang. Tapi apabila bila zuriat lahir nanti, baru segalanya terbongkar," jelasnya pada Selasa.

Antara risiko:

- Thalassemia

- Spinal Muscular Atrophy

- Autosomal Recessive Metabolic Disorders

- Pekak kongenital

- Pelbagai penyakit genetik lain

Dalam pada itu, PHM juga menyarankan sekiranya merancang untuk bernikah dengan sepupu tiada salahnya, namun perlu membuat keputusan dengan ilmu antaranya memaklumkan kepada doktor ketika pemeriksaan pranikah, lakukan saringan genetik asas seperti thalassemia dan jika ada sejarah penyakit dalam keluarga, pertimbangkan untuk rujuk pakar genetik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram