
SUDAH menjadi kewajipan sang suami menyediakan tempat tinggal buat si isteri usai mendirikan rumah tangga.
Tidak kira kecil mahupun besar, ruang privasi menjadi keutamaan setiap pasangan berkahwin sebagai salah satu nafkah wajib bergelar suami.
Namun, hal itu menjadi topik bualan hangat warga maya susulan segelintir golongan lelaki yang memilih untuk tinggal bersama keluarga mentua selepas berkahwin.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Bidaah cerita betul', Erma Fatima dedah pernah berada dalam kumpulan jemaah seumpamanya
Dianggap tidak adil terhadap golongan wanita, rata-ratanya menuntut agar perkara itu tidak dinormalisasikan dalam kalangan lelaki terutamanya yang bakal mendirikan rumah tangga.
Dalam pada kecaman dilemparkan berhubung isu berbangkit, ada segelintir individu tampil menyokong tindakan itu yang dianggap sebagai salah satu ciri lelaki idaman wanita.
Meletakkan ibu kandung sebagai keutamaan, _drvr23.officivl yakin hal itu mampu menjadi pembuka rezeki dalam perkahwinan.
"Bagus la tu dia anak yang bertanggungjawab sanggup nak jaga mak dia, layak dijadikan suami.
"Satu hari nanti awak ada anak lelaki awak juga harap benda yang sama, orang yang jaga ibu bapa ni sentiasa murah rezeki.
"Banyak dah saya tengok sendiri yang cerita toxic bagai tu tak payah layan la, memang dunia sajikan kita kisah buruk rumah tangga je," ciapnya di laman Threads pada Isnin.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan di laman rasmi tampil menjelaskan tanggungjawab penyediaan tempat tinggal buat sang isteri.
"Nafkah tempat tinggal merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isterinya.
"Kebanyakan ulama fiqh berpandangan bahawa suami wajib menyediakan kediaman khusus untuk isterinya yang mana tiada keluarga yang lain di rumah tersebut. Oleh kerana itu, sekiranya suami menyediakan tempat tinggal satu rumah dengan ibu bapanya maka isteri dibolehkan untuk tidak menetap bersama suami.
"Nafkah tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi diri dan hartanya namun perlu diukur mengikut kemampuan suami," jelasnya.
Pun begitu, atas dasar hormat, ramai golongan wanita hari ini dilihat mula terbuka untuk tinggal serumah dengan keluarga mentua dengan syarat tidak mengganggu privasi dan keselesaan sebagai isteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram