[VIDEO] 'Bidaah cerita betul', Erma Fatima dedah pernah berada dalam kumpulan jemaah seumpamanya


  • Hiburan
  • Isnin, 07 Apr 2025

Erma Fatima tegas menafikan bahawa drama Bidaah bertujuan mencalarkan imej Islam.

INDUSTRI hiburan tempatan baru-baru ini digemparkan dengan beberapa babak panas diselitkan dalam drama tayangan televisyen.

Lebih kecoh apabila segelintir daripadanya didakwa sengaja menjatuhkan dan mencalarkan imej agama Islam menerusi adegan tidak sepatutnya.

Drama Bidaah arahan pengarah tersohor, Erma Fatima, 57, antara paling banyak menerima kecaman warga maya serta agamawan negara yang menyifatkan plot penceritaannya tersimpang jauh dari ajaran sebenar.

BACA LAGI: Pen dakwat punca rezeki, pelukis diinspirasi anime 'Initial D' conteng kereta jadi komik

BACA LAGI: Lagu APT Rose Blackpink-Bruno Mars didakwa bawa unsur lucah, tak sesuai untuk kanak-kanak

Lebih mengecewakan apabila drama berkenaan ditayangkan pada bulan suci Ramadan, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat di laman sosial.

Tampil menafikan segala tohmahan ramai, Erma tegas menyatakan bahawa Bidaah bukan sengaja dihasilkan demi kepentingan rating semata-mata.

Malah, kisah yang mengetengahkan elemen keagamaan Islam itu sebenarnya diambil daripada teladan dan kejadian sebenar dialaminya satu ketika dahulu.

"Bidaah cerita betul sebab saya pernah berada dalam kumpulan jemaah seperti itu beberapa tahun lalu.

"Apabila saya duduk dalam kumpulan jemaah itu, ajarannya betul zikirnya betul dari situ saya belajar berzikir yang betul setiap hari.

"Tetapi satu hari, salah seorang jemaah wanita di situ datang pada saya dan beritahu tok guru itu telah menidurinya, malah ramai lagi yang lain turut berdepan nasib sama," katanya menerusi dalam satu hantaran tular di laman sosial.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali itu turut berpesan kepada masyarakat khususnya ibu bapa agar tidak mengambil jalan mudah menghantar anak ke sekolah pondok semata-mata ingin mereka bergelar agamawan.

Jelasnya, kaji selidik rapi perlu dijalankan terlebih dahulu terhadap sesebuah pusat agama agar anak-anak tidak tersalah memilih guru.

"Sebab itu ibu bapa jangan 'short cut' hantar anak ke sekolah pondok, nak anak baik, belajar agama tak periksa dulu," ujarnya.

Terdahulu, pendakwah PU Syed meluahkan kekesalannya terhadap drama berkenaan yang tegas memberikan teguran terhadap pengarah berkaliber itu.

Selain daripada Bidaah, drama keluarga Itu arahan Erma turut dipertikaikan kerana tidak mendatang sebarang faedah kepada tontonan masyarakat.

"Cerita Bidaah itu sendiri sudah Bidaah Dholalah, apatah lagi plot cerita yang melampau ditonjolkan khasnya melibatkan Islam. Sudah mati idea gamaknya sutradara-sutradara di Malaysia ini dalam menghasilkan cerita-cerita berkualiti dan patuh syariah.

"Memang wujud ajaran sesat yang menghambakan pengikutnya. Namun saya rasa tak perlulah dipertontonkan kepada khalayak apatah lagi babak di atas katil juga dipertontonkan seperti dalam video yang tular," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram