Selain puasa 6, ramai tak tahu kahwin bulan Syawal juga sunah


  • Mukmin
  • Selasa, 08 Apr 2025

Sunatnya perkahwinan pada Syawal hanya terpakai sekiranya seseorang itu mempunyai pilihan dan kemampuan.

TATKALA Syawal sering dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri dan puasa enam, ramai yang mungkin terlepas pandang bahawa mendirikan rumah tangga pada bulan mulia itu juga merupakan sunah Rasulullah SAW.

Menurut riwayat Saidatina Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW telah mengahwini beliau pada Syawal dan juga bersama dengannya pada bulan sama.

Hadis tersebut menjadi antara sandaran utama bahawa perkahwinan pada Syawal adalah sunnah yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Tindakan Rasulullah SAW itu juga dilihat sebagai satu bentuk penolakan terhadap kepercayaan khurafat masyarakat Arab jahiliah ketika itu, yang mempercayai bahawa perkahwinan pada Syawal membawa malapetaka.

BACA LAGI: Soalan 'bila nak kahwin', sekadar gurauan atau tekanan? Ini reaksi spontan orang ramai

BACA LAGI: 'Alhamdulillah, got married on a blessed Friday', Syafiq Kyle-Mimi Lana akhirnya 'jumpa' tarikh nikah

Pun demikian, berkahwin pada bulan lain juga tidak menjadi kesalahan.

Sebaliknya, perkahwinan Baginda dengan Aisyah RA bukan sahaja penuh barakah, bahkan menjadi tanda kebahagiaan yang tidak ternilai bagi isteri kesayangan Nabi itu.

Beberapa ulama terkemuka seperti Imam Nawawi dan Imam al-Ramli turut menyokong pandangan bahawa perkahwinan pada Syawal disunatkan.

Imam al-Ramli malah menyarankan agar majlis perkahwinan diadakan di masjid, di hadapan khalayak ramai dan pada waktu siang, bagi meraikan keberkatan sunnah tersebut secara terbuka.

Namun begitu, tidak semua ulama sependapat. Imam al-Syaukani berpandangan bahawa perkahwinan Rasulullah SAW pada Syawal hanyalah satu kebetulan dan bukanlah suatu pilihan yang disengajakan.

Walau bagaimanapun, pandangan itu dilihat kurang tepat oleh kebanyakan ulama yang menjadikan riwayat Aisyah RA sebagai dalil utama menyokong sunnah tersebut.

Dalam masa sama, umat Islam juga tidak dibebani dengan kewajipan untuk berkahwin pada Syawal semata-mata.

Menurut pandangan Imam al-Syirwani dalam hasyiahnya kepada kitab Tuhfah al-Muhtaj, sunatnya perkahwinan pada Syawal hanya terpakai sekiranya seseorang itu mempunyai pilihan dan kemampuan.

Jika sebaliknya, maka berkahwin pada bulan lain tidak menjadi kesalahan.

Justeru, bagi pasangan yang sudah bersedia dan berkemampuan, Syawal adalah masa yang amat sesuai untuk mendirikan rumah tangga sambil mengikut jejak langkah sunnah Rasulullah SAW.

Namun bagi yang belum berpeluang, bulan-bulan lain juga tetap membawa keberkatan asalkan niat dan matlamat perkahwinan adalah kerana ALLAH SWT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram