
SEORANG doktor selebriti dan pejuang kanser payudara, Vicki Belo tampil memberi penjelasan berhubung komen-komen negatif mengenai bentuk payudaranya yang tidak seimbang.
Menurutnya, keadaan itu adalah kesan daripada pembedahan membuang tumor di salah satu payudaranya.
Belo tampil bersuara selepas ruangan komen di akaun TikTok miliknya dipenuhi orang yang mempersoal dan mengkritik ketidakseimbangan bentuk payudaranya.
BACA LAGI: Wajah ibu Izara Aishah curi tumpuan, awet muda dikatakan persis Aishwarya Rai, Alia Bhatt
BACA LAGI: Hati-hati pakaian murah, kandungan bahan kimia phthalates dan formaldehid risiko kesihatan
"Saya rasa saya perlu jelaskan perkara ini kerana anda mungkin fikir payudara saya dibuat di klinik Belo dan hasilnya tidak seimbang, itu sama sekali tidak benar.
"Kalau anda masih ingat, saya pernah menghidap kanser payudara sembilan tahun lalu, dan ketika itu saiz tumor saya ialah 5 sentimeter (cm) x 7cm di payudara kiri. Mereka buang tumor itu,” kata doktor berasal dari Filipina itu.
Menjelaskan kenapa sebelah payudaranya lebih besar daripada satu lagi, Belo berkata,“Mereka letak sesuatu di dalam, dan saya sendiri tak pasti apa ia. Saya tanya doktor, katanya itu adalah tisu, bukan silikon. Ia sesuatu yang lebih keras.”
Belo turut berkongsi bahawa tiga nodus limfa di bawah ketiaknya telah dibuang, menyebabkan sebelah ketiaknya kelihatan lebih dalam.
“Saya hanya mahu jelaskan, kerana saya tak mahu anda fikir itulah hasil kerja klinik Belo. Kami buat prosedur payudara dengan sangat baik,” tegasnya.
Dalam video tersebut, beliau turut dilihat sebak dan mengalirkan air mata sambil merayu kepada orang ramai agar lebih menjaga sensitiviti.
"Tolonglah, bersikap baik, saya seorang pejuang kanser. Saya pernah alami kemurungan pada awalnya tapi saya tak biarkan ia menguasai hidup saya.
"Saya suka fesyen, saya suka pakai pakaian tanpa lengan, jadi saya masih memakainya. Harap anda semua faham," katanya.
Belo disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada 2016, dan ketika itu doktor memberitahunya bahawa dia hanya mempunyai masa dua tahun untuk hidup.
Kini, beliau bebas kanser selama sembilan tahun.
Dalam satu temu bual pada 2022, Belo berkata, bahawa anak perempuannya, Scarlet hasil perkahwinannya bersama Hayden Kho merupakan rahsia utama yang memberi kekuatan untuk terus berjuang menghadapi segala cabaran. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram