Bukan setakat pereka fesyen, pensyarah pertahan kredibiliti Rizalman Ibrahim dilantik Profesor Adjung Universiti Malaya


  • Hiburan
  • Khamis, 14 Nov 2024

Datuk Rizalman Ibrahim dilantik memgang jawatan sebagai Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

PEREKA fesyen dan usahawan tersohor negara, Datuk Rizalman Ibrahim terus melakar sejarah apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Pelantikan itu dibuat sebagai salah satu usaha pihak terbabit meningkatkan kecemerlangannya sebagai sebuah universiti perdana dalam memaju dan menyebarkan ilmu pengetahuan Islam.

Namun, hal itu kurang disenangi segelintir pihak yang berpendapat, jawatan disandang kurang bersesuaian dengan statusnya yang lebih terkenal sebagai seorang personaliti fesyen.

BACA LAGI: Komuniti hackers dedah lagu AI Qween Fatima hina agama, Mufti Kelantan desak Fahmi Fadzil ambil tindakan segera

BACA LAGI: Dai Syed nekad bersihkan nama, selepas ini mahu jual barangan wanita dari Mesir

Tampil mempertahankan hal itu, seorang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sahul HM Al-Rawbari tegas menyuarakan sokongan atas perlantikan tersebut.

Katanya, Rizalman sememangnya layak memegang jawatan itu ekoran sumbangan dan aktiviti kemasyarakatan dijalankan melalui yayasan miliknya.

"Hanya kerana beliau seorang pereka fesyen, tidak bermakna beliau tidak cakna dan tidak menyumbang kepada perkembangan agama Islam secara khusus dan masyarakat secara amnya.

"Ambil tahu dan telusurilah aktiviti Yayasan Rizalman Ibrahim (RI) beliau yang aktif dan progresif itu. Ada pelbagai projek yang dilakukan untuk kebaikan umat dan masyarakat kita.

"Banyak hal yang beliau buat itu belum tentu kita semua dapat buat.

"Untuk makluman, Profesor Adjung tugasnya untuk berkongsi idea dan pengalaman, bukannya untuk mengajar kuliah mahasiswa sampai dapat ijazah," ujarnya menerusi hantaran Facebook.

Terdahulu, pereka fesyen kelahiran George Town, Pulau Pinang itu menerusi satu kenyataan pada Khamis meluahkan rasa syukur kerana usahanya selama ini dipandang secara positif oleh pihak universiti terbabit.

"Kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita ialah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.

"Saya sedar yang dalam diri saya juga masih ada banyak kekurangan. Justeru, bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada, bahkan akan rebut peluang untuk menimba ilmu daripada ekosistem yang akan saya sertai kelak,” ujarnya.

Untuk rekod, ini merupakan lantikan akademik kedua buat Rizalman selepas terlebih dahulu dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Akademi Kontemporari Islam (ACIS), Universiti Teknologi Mara pada Ogos 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram