PEMERGIAN kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Alisa Umairah pada malam Rabu mengundang sebak seluruh rakyat Malaysia.
Menghidap penyakit kanser mata tahap empat, Alisa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung pada alat pernafasan sejak dimasukkan ke wad kecemasan ICU.
Turut terkesan dengan kehilangan itu, pelakon dan penyampai radio, Elly Mazlein, 43, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina antara selebriti yang hadir menziarah jenazah kanak-kanak tersebut pada Khamis.
BACA LAGI: Kecewa industri komik tak laku, kartunis Ujang gesa saluran TV khas buat pelukis komik animasi
"Wajah arwah Adik Alisa cantik, adik Alisa dah sihat dan berlari kat taman syurga. Berehat ya adik Alisa.
"Kami rakyat Malaysia akan sentiasa doakan awak,mama Lina sayang awak," ujarnya menerusi hantaran Instagram pada Khamis.
Terdahulu, kisah Alisa mengundang sebak warganet apabila bapanya, Nur Hisham Abd Hamid berkongsi cerita mengenai anaknya yang gemar duduk di peti ais bagi mengurangkan kepanasan akibat kesan rawatan kimoterapi.
Alisa Umairah didiagnos menghidap kanser di usia setahun dan telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua matanya pada Mei dan Julai lalu.
Elly Mazlein merupakan antara individu terawal yang tampil prihatin terhadap perkembangan kanak-kanak itu apabila melawat kediamannya di Labis, Johor selepas selesai menjalani pembedahan terakhir pada bulan lalu.
Allahyarhamah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran kawasan kediamannya pada 12 tengah hari Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram