Single pertama sebagai Biduanita Negara, Siti Nurhaliza abadikan perjalanan seni menerusi 'Sejarah'


  • Hiburan
  • Khamis, 14 Nov 2024

Siti Nurhaliza melancarkan single terbaharu usai dinobatkan sebagai Biduanita Negara.

USAI dinobatkan sebagai Biduanita Negara, penyanyi nombor satu tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, melancarkan lagu single terbaharunya berjudul Sejarah.

Mengabadikan perjalanan seninya menerusi karya komposer tersohor Indonesia Erwin Gutawa, setiap detik manis dan penghargaan diraih dalam kariernya dipaparkan pada kulit lagu album tersebut.

BACA LAGI: Dua karya Zubir Khan mungkin cipta sejarah muncul lagu Tamil pertama finalis AJL 39

BACA LAGI: Bangga disamakan Azmi Caliph Buskers, penyanyi 'Yennode Macha' teringin duet bersama Alleycats, Harry Khalifah

"Sejarah perjalanan seni saya selama ini saya abadikan sebahagiannya pada cover art single Sejarah.

"Lagu Sejarah sudah boleh dilanggan dan strim di seluruh platform digital," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Khamis.

Terdahulu, Siti atau lebih mesra digelar TokTi menyifatkan anugerah diberikan kepadanya bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerjaya seninya, tetapi turut didedikasikan buat semua pejuang seni tanah air.

"Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.

"Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi atas anugerah ini.

"Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga dan dihargai kerana inilah warisan yang perlu dipelihara," katanya menerusi satu kenyataan.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu merupakan individu ketiga dianugerahkan gelaran tersebut selepas Allahyarhamah Datin Saloma pada 1978 dan Allahyarhamah Datuk Hajah Sharifah Aini (2006). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram