PERNAH mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air, siri telenovela Ezora (2008) masih segar dalam ingatan penonton biarpun lebih sedekad berlalu.
Dibintangi dua pelakon berbakat, gandingan Fazura dan Beego berjaya membawa naskhah arahan Dr Ahmad Idham itu sebagai antara yang paling diminati di zaman itu.
Drama 60 episod itu mengisahkan tentang kisah percintaan terhalang antara Ezora lakonan Fazura dan Reza (Beego) yang terpaksa menundakan perkahwinan akibat isu kewangan.
BACA LAGI: Bermula gaji RM600 di PULAPOL, bakat lakonan DSP Shaharom Anuar menyinar digilap Skop Production
Namun, segalanya berubah apabila Reza berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan stabil dengan hubungannya bersama Ezora terhalang akibat kemunculan pihak ketiga.
Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa drama tersebut diadaptasi daripada siri telenovela popular Venezuela berjudul Secreto De Amor dan Amor Sin Condiciones (Mexico).
Telebih dahulu ditayangkan di kaca televisyen, siri dari Amerika Latin itu mendapat tayangan meluas di serata dunia sekali gus mencetuskan idea buat pengarah Ahmad Idham menghasilkan drama adaptasi versi Malaysia.
Meskipun plot penceritaannya boleh dikatakan hampir sama, namun hanya 40 peratus daripada drama asal dikekalkan dengan selebihnya ditambahbaik oleh pengarah tersohor itu.
Bekas Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Johari Salleh sebelum ini pernah mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Katanya, kebanyakan drama yang menghiasi slot Akasia ketika itu merupakan adaptasi daripada siri popular luar negara namun diberi 'perisa' tempatan.
Ahmad Idham merupakan pengarah drama siri Ezora (2008).
"Konsep untuk slot ini berpandukan drama bersiri Amerika Latin yang popular dan mendapat sambutan, malah mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan judul yang dipilih.
"Bagaimanapun, tidak semua jalan cerita siri popular itu diadaptasi, sebaliknya penerbit diberi kebebasan untuk menyuntik elemen tempatan tanpa menjejaskan perjalanan cerita asal," katanya menurut laporan media.
Malah, hanya 40 peratus daripada cerita asal dikekalkan dengan selebihnya diolah dengan kesesuaian budaya serta sensitiviti masyarakat tempatan.
Sehingga kini, drama itu masih ditayangkan di You Tube dan tersenarai antara drama percintaan ikonik era 2000 yang kekal malar segar dalam ingatan penonton hingga ke hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram