Komuniti hackers dedah lagu AI Qween Fatima hina agama, Mufti Kelantan desak Fahmi Fadzil ambil tindakan segera


  • Hiburan
  • Jumaat, 08 Nov 2024

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa agar muzik AI Qween Fatima diharamkan serta merta dari platform digital negara.

PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin merisaukan ekoran tindakan segelintir pihak yang menggunakan ia untuk tujuan negatif.

Hal itu boleh digambarkan menerusi isu tular sebuah lagu AI di laman sosial baru-baru ini yang dikatakan menghina agama Islam menerusi liriknya.

Menggunakan nama Qween Fatima sebagai identitinya, lebih 10 buah lagu dihasilkan kesemuanya mempunyai lirik berunsurkan negatif yang jelas cuba menjatuhkan imej Islam di mata dunia.

BACA LAGI: Hilang selepas lagu Amalina 'meletup', Santesh kembali hasilkan lagu Melayu duet bersama Faizal Tahir dan UNIC

BACA LAGI: GV11 dikecam jatuhkan 'value' artis, ramai kritik Ning Baizura tak sesuai lagu zaman BBNU

Sebuah komuniti penggodam dikenali sebagai OMG Hackers di Facebook mendedahkan hal itu yang menurutnya cukup berbahaya jika berterusan dimainkan di platform digital.

"Artis bernama Qween Fatima ini giat mengeluarkan lagu-lagu berunsurkan Islam tapi dalam konotasi yang negatif.

"Lagunya makin giat didengar di Spotify dan Apple Music dengan jumlah pendengar mencecah ribuan setiap bulan.

"Bila saya buka profil dan buat sedikit kajian terhadap isu ini, dapat saya simpulkan ini hanyalah sampah yang dihasilkan daripada teknologi AI," katanya pada Jumaat.

Turut terkesan dengan isu itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa agar Kementerian Komunikasi dan Digital negara segera mengambil tindakan terhadap isu berkenaan.

Katanya, keutamaan seharusnya ditumpukan kepada pihak kementerian itu yang sememangnya bertanggungjawab dalam isu teknologi AI.

"Seperti yang kita maklum perkembangan AI semakin meluas dna mendapat galakan daripada Kementerian Digital, jadi bila isu macam ini sepatutnya mereka yang tegas mengambil tindakan.

"Saya nasihatkan agar kementerian segera boikot dan haramkan muzik AI (Qween Fatima) yang berleluasa dituruti pihak jabatan agama Islam di setiap negeri.

"Menterinya, Fahmi Fadzil perlu lebih peka dengan isu ini, haramkan daripada dimainkan di semua platform digital negara, jangan berkrompomi dengan isu sentimen agama," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, teknologi AI seharusnya dipantau rapi oleh pihak berwajib kerana ia boleh terpesong jika tiada kawalan dan hukuman dikenakan terhadap isu sedemikian.

Terdahulu, lagu artis AI dikenali sebagai Qween Fatima meraih kecaman warganet ekoran liriknya yang didakwa menghina Islam.

Tular dalam kalangan pendengar You Tube, rata-ratanya menggesa agar lagu itu diboikot serta merta daripada berterusan dikongsikan di laman sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram