BERMULA dengan angan-angan, siapa sangka impian untuk bergelar ahli gusti profesional berjaya direalisasikan dan menjadi punca pendapatan keluarga.
Shaukat, 37, atau nama sebenarnya Ayez Shaukat-Fonseka Farid kini selangkah sahaja lagi untuk beraksi di pentas WWE selepas mendapat maklum balas positif dari sebuah syarikat hiburan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Shaukat membawa imej bertanjak ke pentas gusti antarabangsa.
"Saya boleh kata hampir pasti akan beraksi di pentas WWE, ura-ura itu dah ada dan pihak sana pun pernah berbincang dengan saya berkenaan hal ini.
"Cuma ia masih belum ada kenyataan rasmi, Insya-ALLAH kalau ada rezeki tertulis memang saya akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
"Yang penting imej bertanjak dan gaya Nusantara ini memang saya akan kekalkan sampai bila-bila, ini merupakan identiti saya sebagai warga Malaysia untuk orang luar kenal kita," katanya kepada Majoriti.
Tambah anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, dia kini sedang giat mengembangkan lagi bakat-bakat tempatan yang berminat menceburi bidang tersebut sebagai kerjaya.
Menubuhkan sebuah pusat latihan APAC Wrestling di ibu negara sejak 2014, ia merupakan satu-satunya platform di rantau Asia Tenggara yang berfungsi mengangkat sukan gusti ke peringkat antarabangsa.
"Saya mula tubuhkan APAC Wrestling sejak 10 tahun lalu dan syukur sampai sekarang masih bertahan dan mula mendapat perhatian daripada ahli gusti profesional dari luar negara.
"Pemilik syarikat hiburan yang bernaung di bawah sistem WWE ada berjumpa dan beritahu saya yang dia sedia mempertimbangkan graduan APAC Wrestling untuk ke pentas dunia.
"Dia percaya kami ada fasiliti dan bakat yang bagus, syukur kami dah dianggap sebagai platform bakat dari Asia Tenggara yang mampu membawa graduan ke peringkat tertinggi," ujarnya.
Mengulas lanjut berhubung karier seninya sebagai seorang pelakon dan pengarah aksi filem, Shaukat menjelaskan kerjaya itu akan diteruskan demi mencari dana buat pusat latihan miliknya.
Berkebolehan melakonkan dan mengarah babak aksi sesebuah karya, bapa kepada dua orang anak itu masih berminat untuk meneruskan legasinya dalam dunia perfileman tanah air.
Terbaharu, Shaukat merupakan salah seorang pelakon membintangi filem Takluk: Lahad Datu dan kini baru selesai mengarahkan babak aksi bagi filem Kahar: Kapla High Council dan Jangan Pandang Belakang 2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram