TUGAS seorang guru semakin hari semakin mencabar. Selain daripada tanggungjawab mendidik dan membimbing pelajar, guru-guru kini berdepan dengan pelbagai karenah murid dan ibu bapa yang kadang kala menyukarkan lagi tugas mereka.
Tambahan pula, golongan pendidik selalu berhadapan dengan masyarakat yang sentiasa memerhati dan mengkritik gerak kerja mereka.
Terbaharu, seorang pengguna media sosial yang berselindung di sebalik nama Anonymous di laman Facebook mempertikaikan tindakan seorang guru menerima gincu berjenama mewah daripada seorang anak muridnya.
BACA LAGI : Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim
BACA LAGI : 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli
"Saya ingin tahu, sebagai penjawat seperti contoh cikgu, adakah mana-mana arahan atau guideline (garis panduan) di mana hadiah yang diterima cikgu ketika hari lahir atau hari guru?
"Sebab selalu ternampak update daripada guru, yang terbaharu dapat lipstik T20 yang mahal. Bagi saya, tidak profesional seorang guru kerana mendapat hadiah yang mahal kerana secara tidak langsung pelajar yang memberi itu akan mendapat layanan istimewa.
"Sekiranya perkara ini tidak dibendung awal, akan menjadi trend buruk di mana ibu bapa berlumba-lumba hadiahkan hadiah mahal untuk guru.
"Saya sendiri kerja swasta sebagai jurutera pun ada guideline, hadiah yang diterima hendaklah di bawah nilai RM50, dan hadiah itu hendaklah tidak berupa wang (seperti emas, baucar dan lain lain)," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu tersebut.
Seorang pengguna media maya, Azurin Iswandi berpendapat, nilai hadiah tersebut bukanlah satu isu yang harus dipertikaikan.
"Sejujurnya, aku sebagai seorang ibu tidak kisah berbelanja membeli hadiah mahal untuk anak aku. Tugas mereka sendiri sudah berat, ada cikgu yang terpaksa korbankan masa dengan anak sendiri demi pelajar.
"Setakat membeli hadiah setahun sekali, itu pun nak dipertikaikan?" tulisnya.
Golongan pendidik tidak perlu diberikan hadiah yang mahal kerana akan mewujudkan budaya pilih kasih dalam kalangan murid. — Gambar hiasan
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Faiz Na'aman tidak bersetuju sekiranya golongan pendidik diberikan hadiah yang mahal kerana akan mewujudkan budaya pilih kasih dalam kalangan murid.
"Mereka (guru) masih fikir profesi guru ini lebih mulia, kebal kritikan (serta cadangan pihak luar) dan seolah-olah murid perlu berterima kasih kepada mereka tanpa had.
"Semua perkara di dunia ini ada hadnya. Tidak boleh melampau.
"Profesion guru juga dibayar gaji oleh kerajaan dan ada pencen daripada duit hasil cukai rakyat, maka seperti juga penjawat awam yang lain, profesi guru juga wajar dikawal selia oleh pihak kerajaan melalui pelbagai garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) serta terikat dengan etika sebagai seorang penjawat awam.
"Dengan ini saya sokong agar satu garis panduan jelas diwujudkan oleh pihak KPM dalam perihal pemberian dan penerimaan hadiah terutama oleh murid atau ibu bapa murid untuk hari guru atau hari jadi guru tersebut.
"Semoga profesion guru terus berintegriti, dipandang profesional dan dihormati demi masa depan bangsa serta negara insya-ALLAH," katanya.
Pendapat Faiz itu turut disokong oleh Md Saiful.
"Saya setuju sekiranya diwujudkan garis panduan dalam perihal pemberian dan penerimaan hadiah dalam kalangan guru kerana untuk mengelak fitnah seperti ini.
"Budaya memberi hadiah itu datang daripada ibu bapa sejak dahulu lagi dan bukan daripada cikgu. Apabila sudah berlaku seperti ini nampak semua salah pada golongan pendidik," katanya.
Terdahulu, tular satu video di laman media sosial memaparkan seorang guru wanita menerima sebuah hadiah berupa gincu berjenama diberikan oleh anak muridnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram