[VIDEO] Polis buru lelaki cuba samun, cekik wanita dalam kereta di Tawau


  • 112
  • Isnin, 22 Jul 2024

Tangkap layar video seorang wanita cedera selepas dicekik dan ditendang peragut dalam satu percubaan samun di Tawau, Sabah pada Ahad.

SEORANG wanita cedera selepas dicekik dan ditendang perompak dalam satu percubaan ragut di Tawau, Sabah pada Ahad.

Difahamkan insiden itu berlaku di sebuah kawasan parkir di hadapan premis kedai.

Mangsa bernasib baik apabila jeritannya meminta tolong didengari oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak selamat, mayat pemancing dibaham buaya ditemukan tak sempurna di Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki Ranau khayal dadah, bikin kecoh tunjuk pistol di Kuala Terengganu

Video kejadian yang memaparkan suspek mengasari mangsa juga tular di laman media sosial pada hari yang sama.

Melalui klip berdurasi kurang seminit itu memaparkan suspek menendang dan mencekik mangsa yang berada di bahagian pemandu kenderaan.

Turut kedengaran suara perakam menjerit ke arah suspek sehingga menyebabkan suspek terkejut lalu melarikan diri dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, susulan laporan dibuat mangsa berumur 32 tahun itu, pihaknya kini giat mengesan suspek.

Katanya, dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa didatangi lelaki tidak dikenali ketika mahu masuk ke dalam kereta.

"Suspek menegur mangsa dan mengatakan tayar kereta mangsa pancit sebelum tiba-tiba mencekik leher dan cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal.

"Kejadian itu disedari orang awam dan ada antara mereka merakam video menggunakan telefon bimbit, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri," katanya pada Ahad.

Tambah beliau lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izzul Adha Mohd Razali di talian 019-7705577 atau hadir di mana-mana balai polis berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram