[VIDEO] Pengarah syarikat diserang guna kapak di Shah Alam, RM200,000 hilang sekelip mata


  • 112
  • Selasa, 23 Jul 2024

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan tindakan sekumpulan lelaki menyamun mangsa di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 33, Shah Alam pada Isnin.

SEORANG lelaki berdepan detik cemas selepas disamun dua penyamun yang menggunakan motosikal di lampu isyarat berhampiran sebuah sekolah di Seksyen 33 dekat Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu laporan telah dibuat mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 54 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 2.41 petang pada hari yang sama.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa yang juga pengarah syarikat barang lusuh menaiki kereta jenis Perodua Kembara sedang berhenti di lampu isyarat sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak selamat, mayat pemancing dibaham buaya ditemukan tak sempurna di Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

"Kejadian itu juga telah tular di media sosial menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan kereta pengguna jalan raya lain.

"Menerusi rakaman itu, dua suspek yang memakai topi keledar berhenti di sebelah kiri kereta mangsa diikuti sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di belakang bertindak menghalang laluan dengan memintas kereta mangsa.

"Suspek yang membonceng motosikal telah pergi ke arah mangsa lalu memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan sebilah kapak dan mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Mohd Iqbal lagi, seorang lagi rakan suspek yang menaiki Perodua Alza telah membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa sebelum melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM200,000.

Katanya, wang tunai milik syarikat mangsa itu dipercayai baru dikeluarkan dari sebuah bank berdekatan.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan semakan polis mendapati nombor pendaftaran Perodua Alza yang digunakan suspek adalah palsu," ujarnya.

"Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan kesemua suspek bagi siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram