WALAUPUN tujuh tahun telah berlalu, kisah kematian tragis Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tetap segar di ingatan rakyat Malaysia.
Tragedi yang menimpa anak sulung dari empat beradik itu bukan sahaja mengejutkan negara, malah mengheret pelbagai persoalan mengenai isu penderaan dan buli dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, tidak hairanlah kes tersebut sentiasa menjadi bualan dalam kalangan rakyat tidak kira peringkat umur dalam media sosial.
BACA LAGI : 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli
BACA LAGI : Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati
Seorang bekas peguam Mahkamah Tentera yang hanya dikenali sebagai Sir Kamarul melalui akaun X (Twitter) tidak terkecuali mengulas kes tersebut selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM selepas didapati bersalah membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman.
Dia turut bersetuju dengan keputusan mahkamah yang menyifatkan kes Zulfarhan Osman merupakan satu kes yang bersifat jahat, zalim dan jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Pada masa sama, Kamarul turut berkongsi imbasan fakta kes mangsa bersama pelaku.
Bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros (kiri) dan isteri Hawa Osman bersujud syukur selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.
Imbasan fakta-fakta kes:
1) Ada 90 kesan tekapan seterika pada badan arwah. Seluruh badan arwah cedera, hanya muka dan telapak tangan tidak tercedera.
2) Pada 21 Mei 2017, Zulfarhan disoal siasat berhubung kehilangan komputer riba sebelum mangsa dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Arwah diseksa dua malam berturut-turut. Malam pertama, mangsa dipukul, disepak dan diterajang.
Malam kedua mangsa diseterika di beberapa anggota badan termasuk kemaluan dan kejadian kedua terhenti ketika azan subuh kedengaran.
3) Setelah teruk dipukul, arwah ‘dijaga rapi’ di sebuah bilik. Berselimut seluruh badan.
4) Ketika guna khidmat perubatan Islam untuk cari pencuri komputer riba, ada tiga nama dapat ‘di scan’ oleh Haji Abdullah iaitu ayah kepada seorang pelaku dan nama mangsa antara yang disebut selain Naim dan Izzat Amir.
5) Walaupun kejadian dilapor pada warden, surat layang ditulis atas kertas A4 dan diselitkan pada pintu pagar langsung tidak dipedulikan.
6) Warden awalnya maklumkan, dia akan pergi memeriksa bilik kejadian pada selepas zuhur tapi tiba pada waktunya, tiada kelibat warden.
Wajah-wajah tertuduh yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.
7) Zulfarhan dibawa keluar dari bilik dan dibawa ke klinik swasta Bandar Baru Bangi untuk dirawat. Pemandu e-hailing turut melihat mangsa dilayan dengan teruk.
Pemandu e-hailing yang angkatkan arwah dari kerusi roda, masuk ke dalam kereta. Tertuduh menolak kerusi roda terkena kaki arwah. Tertuduh senyum apabila ditegur.
8) Tertuduh menipu doktor klinik swasta berkenaan mengenai punca arwah cedera dan memaklumkan arwah terkena bom ketika latihan.
9) Melihat keadaan mangsa yang semakin teruk, Zulfarhan Osman kemudiannya dihantar ke sebuah kondominium di Bangi untuk berehat oleh dua pelajar UPNM.
10) Mangsa meninggal dunia pada 1 Jun 2017 pada pukul 9.10 malam di kondominium berkenaan sebelum pengawal keselamatan memaklumkan kepada polis.
Mangsa dihantar ke Hospital Serdang dengan ambulans sebelum kematiannya disahkan. Bedah siasat mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan akibat penderaan fizikal.
Sementara itu, Pada Selasa, bapa kepada Zulfarhan Osman meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam pesalah yang meragut nyawa anaknya.
Zulkarnain Idros, 60, berkata dia dan keluarganya yang lain bersyukur dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan.
Hadhariah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah tuduhan pembunuhan terhadap keenam-enam bekas penuntut yang masing-masing kini berusia 28 tahun.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram