[VIDEO] 91 murid SK Pulau Gaya keracunan makanan, JPNS masih siasat punca akibat makanan kantin atau RMT


  • Tular
  • Selasa, 23 Jul 2024

Seramai 91 murid SK Pulau Gaya dikesan mengalami gejala keracunan makanan pada Isnin.

TULAR beberapa video memaparkan beberapa murid berada dalam kesakitan kerana keracunan makanan di pada Isnin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dekat Kota Kinabalu, Sabah.

Melalui video yang dimuat naik oleh orang awam, Siti Saleha Harris memaparkan beberapa pelajar berada dalam keadaan lemah dan diberi bantuan oleh petugas kesihatan.

Dakwa Siti, keracunan makanan itu berkemungkinan daripada makanan yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

"Mereka kata punca nasi lemak dan milo ais. Semua sakit perut dan muntah-muntah," tulisnya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) turut mengesahkan kejadian tersebut melalui satu kenyataan pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, setakat ini seramai 91 murid sekolah itu dikesan mengalami gejala keracunan makanan dan sudah diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu negeri.

Katanya, insiden itu mula dikesan pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

“Pihak sekolah melalui guru-guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terbabit dalam keracunan makanan.

“Maklumat awal yang diperoleh, ada lebih daripada 20 orang murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan di sekolah itu,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

452195843_887215966786521_2473036077278966317_n

Justeru, katanya pihak sekolah bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Selain itu, katanya, ada juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.

“Berikutan insiden itu, pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.

“Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS, diikuti seramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.

“Pihak PPDKK membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada Selasa.

“Semalam (Isnin) PPDKK mengarahkan supaya perkhidmatan kantin dan RMT diberhentikan serta-merta demi keselamatan murid buat sementara waktu,” katanya.

Namun katanya, punca keracunan makanan masih disiasat dan belum dapat diputuskan sama ada berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram