[VIDEO] Polis buru penunggang motosikal disyaki sengaja baling batu ke arah kereta di SS14


  • 112
  • Selasa, 23 Jul 2024

Polis kini sedang memburu seorang penunggang motosikal lelaki yang menimbulkan kegusaran awam dengan membaling batu pada sebuah kenderaan di SS14, Subang Jaya.

POLIS kini sedang memburu seorang penunggang motosikal lelaki yang menimbulkan kegusaran awam dengan membaling batu pada sebuah kenderaan dalam kejadian di Subang Jaya, Selangor, 14 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, cermin belakang kereta Perodua Myvi milik pasangan suami isteri pecah akibat dibaling batu oleh seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali di SS14.

"Kejadian berlaku ketika kereta dipandu wanita tempatan berusia 42 tahun itu membelok ke arah Jalan Jengka, SS17 pada pukul 10.40 pagi hari kejadian.

BACA LAGI: 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli

BACA LAGI: [VIDEO] Pengarah syarikat diserang guna kapak di Shah Alam, RM200,000 hilang sekelip mata

"Ketika ingin membelok ke kanan mangsa dan suaminya terdengar bunyi hentakan di bahagian belakang dipercayai berpunca daripada balingan batu oleh suspek terbabit.

"Mangsa membuat pemeriksaan dan mendapati cermin bahagian belakang pecah dan kerugian dianggarkan kira-kira RM400.

"Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (belakang) mendapati kenderaan mangsa diekori seorang lelaki yang bangsa dan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari pada Selasa.

Tambah beliau lagi, mangsa mendakwa tidak mengenali suspek dan mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pihak.

Katanya, setakat ini pihak polis sedang mengenal pasti identiti dan mengesan suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu satu klip video tular di media sosial memaparkan kejadian itu sambil mendakwa kejadian seumpama itu sudah sering kali terjadi di kawasan berkenaan.

Klip video berdurasi 30 saat itu memaparkan motosikal tidak bernombor pendaftaran ditunggang suspek mengekori kenderaan mangsa selama beberapa saat sebelum membaling batu.

Bagaimanapun Azlan berkata, berdasarkan semakan hanya satu laporan polis diterima berhubung kejadian seperti itu di Subang Jaya setakat ini.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh AB Rahim di talian 0197506606. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram