Seluruh Asean bersatu 'back up' Indonesia, salahkan VAR, pengadil punca kekalahan


  • Podium
  • Selasa, 30 Apr 2024

Kemaraan skuad Garuda Muda dalam Piala Asia B-23 terhenti selepas disingkirkan di peringkat separuh akhir kepada Uzbekistan.

KEMARAAN bergaya skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Indonesia dalam saingan Piala Asia B-23 berakhir apabila mereka tewas kepada Uzbekistan dalam aksi separuh akhir pada Isnin.

Selepas permulaan kekok dalam peringkat kumpulan, skuad kendalian Shin Tae-yong membuktikan kebangkitan dengan kemenangan ke atas Australia dan Jordan.

Dua keputusan positif itu sudah tentu menimbulkan rasa bangga dalam kalangan pemain meskipun ia merupakan penampilan pertama mereka dalam pertandingan berkenaan.

Kejutan diteruskan apabila skuad Garuda Muda menyingkirkan Korea Selatan dalam satu aksi epik dalam pertembungan suku akhir yang berakhir dengan penentuan sepakan penalti.

Kemaraan itu semakin hampir membolehkan pasukan tersebut menempah tiket ke temasya Olimpik 2024 dengan pencapaian demikian merupakan sesuatu yang luar biasa.

BACA LAGI: Rintangan akan lebih sukar buat Nidzam Jamil selepas ini

WhatsApp Image 2024-04-30 at 10.51.38

Gol pendahuluan Indonesia dibatalkan selepas semakan VAR dibuat.Agensi

Bagaimanapun, selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan, harapan mereka untuk menyertai pertandingan itu sudah semakin samar kerana perlu menempuhi beberapa fasa penentuan.

Namun, kekalahan itu seakan-akan sukar diterima dengan hampir kesemua penggemar bola sepak di rantau Asia Tenggara sukar menerima penyingkiran Indonesia.

Selain merupakan satu-satunya wakil tunggal yang kekal dalam Piala Asia B-23, orang ramai beranggapan perlawanan itu tidak diadili dengan baik oleh petugas dari China, Shen Yinhao.

Salah satu momen yang sukar diterima adalah ketika gol Muhammad Ferrari dibatalkan setelah semakan daripada video bantuan pengadil (VAR) mendapati Marselino Ferdinan berada dalam keadaan ofsaid.

Tidak cukup dengan itu, penyokong turut berasakan kad merah dilayangkan kepada Rizky Ridho adalah tidak adil dengan keputusan itu menghangatkan lagi suasana permainan.

BACA LAGI: [VIDEO] Petik nama TMJ, Ferdy Druijf semakin hampir sarung jersi Harimau Malaya?

662fccd5f3e7b

Rizky Ridho (no 5) dilayangkan kad merah akibat terjahan keras dilakukannya.AFP

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong berasakan penyingkiran skuad Garuda Muda sukar diterima, lebih-lebih lagi memandangkan kemenangan itu akan membantu mereka ke temasya Olimpik.

"VAR membuatkan Indonesia tewas kepada Uzbekistan. Anda adalah pemenang dalam hati kami, penyokong dari Asia Tenggara kerana anda sudah buat yang terbaik," kata Park Ji Chong.

"Hanya pengadil dan VAR yang boleh menghentikan kemaraan Indonesia tetapi saya masih boleh katakan Uzbekistan beraksi dengan cukup baik, tahniah buat mereka," kata Roby Oby.

"Jangan berasa tertekan wahai Garuda Muda, kami masih bangga dengan anda kerana sudah menjadi wakil terbaik dalam kalangan pasukan Asia Tenggara," kata Dariyah Salim.

Selepas ini, Indonesia akan berdepan Iraq dalam penentuan tempat ketiga yang akan diadakan di Stadium Abdullah bin Khalifa, Doha pada Khamis ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram