MALAYSIA memulakan kempen Piala Thomas dengan langkah kanan apabila merakamkan kemenangan bergaya ke atas Hong Kong.
Beraksi seawal 8.30 pagi waktu Malaysia, skuad negara merakamkan kemenangan 5-0 dengan hanya dua set saja dilepaskan kepada pihak lawan dalam kesemua perlawanan.
Mata pertama disumbangkan oleh Lee Zii Jia apabila menewaskan Lee Cheuk Yiu dengan kemenangan straight set 21-18, 21-18. Perseorangan utama negara itu mengambil masa selama 45 minit bagi meraih mata pertama.
Rentak kemenangan disambung oleh gandingan beregu utama iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Turun berdepan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi, nota serupa dicatatkan beregu nombor satu negara ini apabila menang straight set 21-16, 21-12 dalam masa 27 minit.
Hong Kong berjaya mendapatkan satu set daripada Malaysia apabila Leong Jun Hao tewas permainan pertama kepada Ng Ka Long 17-21 dalam aksi perseorangan ketiga.
BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim
Namun begitu, pemain perseorangan kedua itu bangkit dengan bergaya apabila memenangi aksi kedua 21-12 dan 21-15 pada set penentuan untuk memastikan kemenangan pertama milik Malaysia.
Walaupun sudah memastikan kemenangan pertama dalam genggaman, tetapi fokus skuad negara tidak pudar pada aksi keempat melibatkan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Tanpa banyak masalah, gandingan beregu ini mencatatkan satu lagi kemenangan straight set dengan keputusan 21-19, 21-18 dalam masa 38 minit.
Kemenangan bergaya Malaysia disahkan oleh persembahan Justin Hoh walaupun terpaksa bertarung sengit dengan Chan Yin Chak dalam pertarungan tiga set.
BACA LAGI: Piala Thomas: Usah pedulikan Indonesia, tepis cabaran Hong Kong dulu demi slot kalah mati
Mengambil masa 59 minit untuk ditamatkan, Justin pada mulanya berjaya memperoleh kemenangan dengan menewaskan Yin Chak 21-17.
Namun begitu, kelekaan di set kedua telah membuatkan Yin Chak berjaya menyamakan kedudukan sekali gus menang 21-19. Mujur di set penentuan, Justin berjaya mengambil semua peluang yang ada untuk menang 21-17.
Selepas berdepan Hong Kong, Malaysia berpeluang untuk mengesahkan tempat di pusingan seterusnya apabila berdepan Algeria pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram