Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim


  • Podium
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Isu luar gelanggang harus diketepikan sebelum skuad Piala Thomas turun beraksi pada Sabtu. — BAM

SEBELUM terbang ke Chengdu, China bagi menghadapi Piala Thomas, terdapat pelbagai cerita yang enak didengar melibatkan skuad badminton lelaki Malaysia.

Cerita terhangat adalah apabila perseorangan utama, Lee Zii Jia tidak berlatih bersama-sama rakan sepasukan yang lain sebelum terbang ke China.

Perkara itu menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan penyokong, dan sedikit sebanyak menimbulkan rasa suasana negatif menjelang Piala Thomas.

Tetapi bagi bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim, dia mengakui kontroversi yang berlaku di luar gelanggang pastinya akan meninggalkan kesan kepada pasukan dalam melakukan persiapan.

BACA LAGI: Piala Thomas: Usah pedulikan Indonesia, tepis cabaran Hong Kong dulu demi slot kalah mati

BACA LAGI: Setakat mampu ke suku akhir selama ini, 2024 peluang skuad Piala Uber lakar sejarah lebih baik

"Bila ada beberapa isu melibatkan pemain, pengurusan atau pasukan. Sudah pastinya ada kesan yang berlaku, mustahil jika tidak ada.

"Pada saya, dari segi semangat berpasukan mungkin akan berkurang, tetapi jika pemain memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap negara, itu mungkin akan menghasilkan keputusan yang baik," kata Roslin kepada Majoriti.

Menurut Roslin lagi, apabila menyertai kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas, semestinya isu luar gelanggang mahu dielakkan sebaiknya demi menjaga pasukan.

Jika terlalu banyak isu berlaku, sudah pasti persiapan pasukan akan terjejas dan mengakibatkan prestasi suram ditampilkan ketika beraksi.

"Kalau boleh kita tak nak benda-benda tak sepatutnya dalam persiapan terutamanya ketika kejohanan berpasukan.

"Bila ada isu yang berlaku di luar gelanggang, pasti akan menganggu dari segi persiapan. Tapi dari segi keharmonian mungkin tidak, kerana rata-rata pemain sudah mengenali satu sama lain, mereka sudah rapat sebagai kawan," ujar Roslin.

Malaysia memulakan kempen Piala Thomas dengan berdepan Hong Kong pada Sabtu sebelum berdepan Algeria keesokan harinya.

Perlawanan berdepan Denmark akan diadakan dua hari selepas bertemu Algeria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram