SETELAH berbulan-bulan menunggu, peminat bola sepak tempatan sudah semakin hampir untuk menyaksikan kepulangan saingan Liga Super bagi musim 2024/25.
Persiapan setiap pasukan boleh dikatakan cukup mantap selepas masing-masing sudah membawa masuk pemain baharu di samping mengadakan perlawanan persahabatan.
Langkah yang sudah diambil itu pasti membuatkan penyokong tidak sabar untuk menyaksikan sejauh mana perubahan diambil dapat memberi kesan terhadap pencapaian pasukan.
BACA LAGI: Lepas hampir dapatkan bek Terengganu, kelab Lembah Klang disebut-sebut mahu sambar Amri Yahyah
Skuad Sang Penyu sudah memasuki fasa akhir persiapan untuk musim akan datang. — Facebook/Terengganu FC
Salah satu kelab yang perlu diberikan perhatian pastinya Terengganu FC setelah mengalami satu kempen Liga Super mengecewakan meskipun beraksi cukup cemerlang dalam Piala FA dan Piala Malaysia.
Kedudukan keenam pada saingan 2023 boleh dikatakan kemerosotan cukup ketara berbanding musim sebelumnya apabila mereka berada di tangga kedua.
Jadi, melihat kepada persiapan dibuat sepanjang jendela perpindahan, skuad Sang Penyu boleh dikatakan lebih bersedia untuk memberi tentangan dalam pertandingan itu.
Meskipun masih terlalu awal, berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu dapat menunjukkan kemampuan sebenar berbanding musim lalu.
1. Squad depth lebih mantap
Salah satu kunci utama buat mana-mana pasukan yang mahu memberi saingan dalam liga adalah lambakan pemain dalam setiap posisi dengan mereka perlu bersedia sekiranya diberikan peluang.
Pendekatan itu dapat disaksikan musim lalu apabila dua pasukan teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC memiliki pelbagai pilihan boleh diturunkan.
Berdasarkan skuad Sang Penyu ketika ini pula, masalah kekurangan pemain sudah diatasi dengan aktiviti perpindahan sistematik yang diadakan sejak jendela perpindahan dibuka.
BACA LAGI: Hargai sumbangan legenda, Terengganu, NSFC, KL City boleh ikut langkah Kedah
Tomislav (tengah) memiliki lambakan pilihan untuk musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Contoh terbaik dapat dilihat adalah apabila Terengganu FC tidak gusar ketika kehilangan penyerang utama, Ivan Mamut akibat kecederaan sebelum digantikan Ismahel Akinade.
Selain itu, kemasukan pemain seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang boleh beraksi dalam pelbagai posisi mengelakkan isu kekurangan pemain dialami musim lalu berulang.
Jadi, Tomislav pasti tidak perlu runsing akan ketiadaan tonggak utamanya kerana terdapat nama-nama yang boleh tampil untuk mengisi kekosongan.
2. Ubi muda lebih berkualiti
Tidak boleh dinafikan bahawa Terengganu FC memiliki lambakan 'ubi muda' lebih berkualiti berbanding pasukan lain dengan ia dibuktikan apabila skuad muda mereka menjuarai Piala MFL.
Kehadiran mereka sudah cukup untuk membolehkan skuad Sang Penyu beraksi dengan baik dalam Liga Super kerana pemain muda boleh diturunkan dalam Piala FA.
Antara bakat muda yang boleh beraksi lebih kerap termasuk bek tengah, Ubaidullah Shamsul Fazili yang diturunkan dalam aksi final Piala Malaysia.
Syahmi memiliki masa depan cerah dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Selain itu, penyerang muda, Syahmi Zamri turut bersedia untuk diturunkan selepas menjadi antara nama-nama yang tersenarai dalam penghujung musim.
Ubi muda dimiliki skuad Peteh itu boleh menjadi perbezaan antara Terengganu FC dengan kelab selain JDT dalam misi mereka memburu status naib juara Liga Super 2024/25.
Bagaimanapun, kepercayaan masih berada di bahu Tomislav untuk menurunkan mereka pada waktu getir berbanding pemain lain yang dimilikinya.
3. Import berpengalaman dalam Liga Super
Melihat kepada senarai import disambar, skuad Sang Penyu membuat perancangan cukup menarik kerana membawa masuk pemain yang pernah beraksi dalam Liga Super.
Ismaheel yang menghabiskan musim lalu di Kelantan FC dan Kelantan United boleh dikatakan sudah menyesuaikan diri melihat kepada prestasinya sepanjang kempen pramusim.
Bagi memperkukuhkan bahagian tengah pula, Terengganu FC mengambil keputusan menyambar bekas kapten, Manuel Ott yang beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ismaheel merupakan antara rekrut terawal dibuat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Kemasukannya sudah tentu mengurangkan tekanan dipikul Nurillo Tukhtasinov kerana dia boleh digandingkan dengan Akram Mahinan untuk melindung benteng pertahanan.
Meskipun ada yang berasakan Marin Pilj dan Matthew Steenvoorden tidak pernah beraksi dalam Liga Super, mereka masih mudah menyesuaikan diri.
Pilj yang merupakan import dari Croatia pasti memiliki hubungan cukup baik dengan Tomislav sementara Steenvoorden memiliki pertalian darah di Indonesia akan memudahkannya memahami budaya negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram