Rintangan akan lebih sukar buat Nidzam Jamil selepas ini


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 29 Apr 2024

Selangor memastikan gelaran SAC 2024 menjadi milik mereka selepas menumbangkan juara Liga Laos, Young Elephants FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad. — Facebook/Selangor FC

BOLA PEGUN kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

SEBESAR-BESAR kejayaan harus bermula dengan yang kecil-kecil dahulu dan Nidzam Jamil tidak boleh dipersalahkan jika dia sedikit beremosi selepas barisan Selangor FC kendaliannya memenangi Piala Cabaran Asia Selangor (SAC2024) malam tadi.

Menyertai pemain-pemainnya dalam keraian ringkas sejurus dikalungkan pingat dan menjulang piala selepas disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Stadium MBPJ, jurulatih berusia 44 tahun itu dilihat dalam mood ceria bersesuaian dengan situasi ketika itu.

BACA LAGI: Subra anggap sparring Selangor biasa-biasa, tak setanding Top 4 seperti JDT, TFC dan Kedah

Selangor II

Selangor berjaya menjuarai SAC 2024 selepas mengutip 14 mata dalam kejohanan itu. — Facebook/Selangor FC

Andai diberi pilihan untuk pasukannya lebih bersahaja bagi mengelak risiko cedera atau mengusahakan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan SAC2024 untuk meraih kelebihan psikologi menjelang permulaan musim baharu Liga Super 2024/25, sesiapa pun di tempatnya akan memilih yang kedua itu.

Sebelum aksi persahabatan empat penjuru itu lagi, Nidzam tidak berselindung bahawa dia mahu melihat dua aspek utama -- sikap pemain dan keputusan yang baik. Kesudahannya, dia mendapat kedua-duanya.

“Keputusan tetap penting kerana bila kita buat ujian, kita juga perlukan keputusan positif. Dan jika difahami mentaliti Selangor FC, kelab ini sentiasa menuntut keputusan yang baik,” katanya dalam temu bual dengan Bola Pegun pada 26 April lalu.

Halangan pertama pada Jumaat dilepasi dengan cemerlang apabila DPMM FC Brunei – pasukan di tangga ketiga Liga Super Malaysia pada 2006-07 dan juara Liga Singapura 2015 – ditundukkan 4-0 hasil masing-masing dua gol daripada Noor Al Rawabdeh dan pemain sayap baharu, Alvin Fortes.

Malam tadi pula, Fortes -- pemain kebangsaan Cape Verde yang musim lalu beraksi untuk Nongbua Pitchaya FC dalam divisyen dua Liga Thailand – membuka jalan untuk satu lagi kemenangan 4-0 ke atas wakil Laos, Young Elephants FC, dengan gol pertama dan disusuli jaringan selebihnya oleh Safuwan Baharudin, Faisal Halim dan Syahir Bashah.

“Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan komitmen pemain dan juga puas hati dengan pemain-pemain yang baru balik (daripada tugasan bersama skuad kebangsaan),” katanya sebagai menyimpulkan prestasi mereka dalam SAC2024.

Lapan pemain mudanya yang menyertai rombongan skuad Piala Asia Bawah 23 tahun negara di Qatar -- Mukhairi Ajmal Mahadi, Syahir Bashah, Azim Al Amin Kamaruddin, Harith Haiqal Adam Afkar, Zikri Khalili, Nooa Laine, Muhammad Abu Khalil dan Aliff Izwan Yuslan – baru menyertai semula latihan Rabu lalu.

Sebelum itu, Selangor FC turut melepaskan Faisal Halim dan Sharul Nazeem Zulpakar (Malaysia), Safuwan Baharudin (Singapura), Noor Al-Rawabdeh (Jordan) and Umarbek Eshmurodov (Uzbekistan) bersama skuad kebangsaan masing-masing dalam kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Kita menang dua perlawanan tapi kita kena timbangkan banyak benda sebenarnya. Pemulihan dan kecederaan yang mungkin kita alami sebab kita main lagi selepas 48 jam. Alhamdulillah kita dapat tangani situasi itu,” sambungnya dalam temu bual Astro Arena selepas perlawanan.

Sesetengah pihak berpendapat SAC2024, di sebalik cabaran datangnya daripada kelab tiga negara berbeza, tidak memberikan Selangor FC ujian getir yang akan lebih mendedahkan kelemahan dan kekuatannya.

Nidzam, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan pandangan seperti itu.

“Saya rasa dua game ni kedua-dua pasukan lawan bagi kita masalah yang bagus untuk kami selesaikan. Dan kita boleh nilai balik tentang apa yang kita nak persiapkan menjelang perlawanan sumbangsih (menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei),” jelasnya.

Tambahnya, perlawanan dengan DPMM FC dan Young Elephants FC itu sekurang-kurangnya dapat memberikannya bayangan corak permainan dimahukannya apabila liga bermula.

“Sudah tentu kita ada style tertentu yang kita nak tapi ia masih bergantung kepada lawan yang kita nak jumpa. Jadi, kita kena lebih terbuka tentang apa masalah ketika perlawanan.

“Ada beberapa perincian kecil yang yang kita nak tekankan seperti hantaran terakhir yang patut dibuat dan bagaimana nak guna ruang dengan lebih baik. Apa pun, secara keseluruhannya kita puas hati,” katanya lagi.

Terdahulu, Nidzam menyuarakan rasa puas hatinya dengan import baharu Gergasi Merah – Fortes, Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan pemain warisan, Nooa Laine, di samping mereka mengekalkan Alex Agyarkwa, Yohandry Orozco, Safuwan dan Al Rawabdeh dari musim lalu.

BACA LAGI: Pernah berbakti bersama Kedah, 3 pemain sayap mudah pikat hati penyokong Sang Kenari

Fortes, 29, penyumbang tiga gol dalam SAC2024, diyakininya akan dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring gol prolifik, Ayron del Valle – pemenang Kasut Emas Liga Super 2023 mengatasi penyerang JDT, Bergson da Silva – yang memilih untuk menyertai kelab Bolivia, Always Ready.

"Alvin terlibat dalam gerakan serangan dan juga menjaringkan gol. Ia juga penting untuk menyesuaikan diri dalam liga, bukan sahaja bersama rakan sepasukan. Tetapi, saya percaya dia akan mudah kerana Liga Malaysia dan Thai adalah sama tetapi mungkin terdapat sedikit perbezaan dari segi budaya," katanya.

Tiada siapa tahu apa yang bersarang di hati Nidzam dalam menantikan perlawanan pembukaan menentang JDT cuma 11 hari lagi.

Ketika berperanan selaku penolong ketua jurulatih musim lalu, dia harus memahami keputusan Tan Cheng Hoe untuk tidak mengamalkan corak bertahan habis-habisan, sebaliknya cuba menyaingi juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu daripada segi serangan dan penguasaan bola.

Cheng Hoe ketika itu berpandangan selama mana pemain-pemainnya mampu bertahan pun, lambat-laun mereka akan dibolosi juga kerana akur dengan kekuatan jentera serangan Harimau Selatan itu.

Nidzam tentu berhak menentukan pilihannya sendiri tetapi dari detik mereka habis meraikan kejayaan kecil dalam SAC2024 malam tadi – Selangor FC tidak tewas semua enam perlawanan persahabatan pramusim termasuk mengalahkan Samut Prakan FC 4-0 dan seri dengan Ayutthaya United FC 1-1 dalam rangka latihan pramusim di Bangkok di samping menang 4-0 ke atas Melaka United FC, 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC dan 3-2 ke atas Perak FC -- keadaannya hanya akan bertambah sukar buat mereka selepas ini.

Tapi kejayaan dalam SAC24 itu dapat menyediakan mereka dengan persiapan psikologi lebih baik berbanding jika mereka tidak memenanginya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram