[VIDEO] Tiga bakat muda seberang boleh atasi isu bek rapuh, penyudah tumpul kelab Liga Super termasuk Penang dan Sabah


  • Podium
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Skuad muda Indonesia mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 2024 selepas menyingkirkan Korea Selatan pada Jumaat. — Agensi

TANGGAL 25 April 2023 menjadi hari bersejarah buat skuad muda Indonesia apabila mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke separuh akhir Piala Asia Bawah 23 (B-23) 2024 selepas menyingkirkan pasukan pilihan Korea Selatan pada Jumaat.

Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari muncul wira pasukan Asia Tenggara itu selepas menafikan dua sepakan penalti bagi mengakhiri cabaran skuad Young Taegeuk Warriors, 11-10 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi suku akhir 120 minit.

Sebelum perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti, skuad muda Garuda mencatat keputusan seri 2-2 ke atas Korea Selatan menerusi jaringan dari Rafael Struick pada minit ke-15 dan tambahan masa babak pertama.

Lolos ke peringkat separuh akhir itu semakin menghidupkan peluang buat skuad kendalian Shin Tae-yong untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 Paris nanti. Skuad muda Garuda dijangka akan bertemu pemenang perlawanan Uzbekistan berdepan Arab Saudi.

Rentetan kejayaan manis pasukan negara jiran itu, saham pemain Indonesia kian melonjak dan antara tonggak yang semakin menjadi igauan penyokong tanah air ialah pemain KMSK Deinze, Marselino Ferdinan.

Pemain KMSK Deinze itu dikhabarkan sedang diintai Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) selepas kontraknya akan tamat pada Jun 2024. Pasukan Pantai Timur tersebut mempunyai satu lagi kuota pemain import.

Selain Marselino, terdapat tiga lagi pemain muda Indonesia yang boleh menjadi pertimbangan pasukan Liga Super Malaysia untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan bahagian-bahagian tertentu dalam pasukan.

BACA LAGI: Media Indonesia lapor Kelantan minat sambar Marselino Ferdinan

1) Ramadhan Sananta

Penyerang tengah skuad muda Indonesia, Ramadhan Sananta mungkin tidak mencetak jaringan gol setakat kejohanan Piala Asia B-23 berlangsung namun pemain itu antara ubi muda yang sudah awal dipanggil dalam senarai skuad senior.

Sananta debut bersama pasukan kebangsaan Indonesia pada 2022 semasa perlawanan persahabatan menentang Curacao. Akaun gol pertamanya bersama skuad senior pula ketika menentang Indonesia pada aksi Piala AFF peringkat kumpulan menentang Brunei.

Selain itu, pemain muda berusia 21 tahun itu antara watak penting skuad kebangsaan Bawah 22 tahun (B-22) Indonesia menjuarai acara bola sepak di Sukan SEA Kemboja dengan dia menjaringkan salah satu gol ketika Sang Garuda menang 5-2 menewaskan Thailand.

Bermain di posisi penyerang, Sananta yang juga pemain Persis Solo dirasakan sesuai untuk berada dalam pemantauan Penang FC kerana skuad Harimau Kumbang kini hanya bergantung harap kepada Rodrygo Dias.

2) Pratama Arhan

Bek kiri muda Indonesia, Pratama Arhan dikenali dengan kemahiran membuat balingan jauhnya yang sering menjadi hantaran bantuan buat rakan sepasukan mencetak gol, selain kelincahannya di padang boleh menggugat benteng pertahanan lawan.

Balingan menarik Pratama ketika Piala Asia B-23 direkodkan ketika membantu pemain tengah bertahan, Komang Teguh mendapatkan gol terakhir untuk memastikan Indonesia menang 4-1 ke atas Jordan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.

Arhan yang baru sahaja menyertai pasukan divisyen satu Korea Selatan, Suwon FC pernah dicanang menyertai tiga kelab gergasi di Liga Malaysia iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Selangor FC yang kini banyak mempertaruhkan Fazly Mazlan di bahagian kiri pasukan boleh cuba merisik Pratama selepas pemain berusia 30 tahun berkenaan banyak menerima kritikan kerana prestasinya semakin merudum.

BACA LAGI: [VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China

3) Komang Teguh

Pemain tengah bertahan, Komang Teguh mencetak dua jaringan gol dalam aksi Piala Asia B-23 iaitu ketika menentang Australia dan gol keempat ketika menewaskan pasukan Timur Tengah, Jordan dengan keputusan 4-1.

Komang yang merupakan pemain tengah utama bagi pasukan kebangsaan Indonesia B-23. handal dalam mengekalkan rentak permainan di bahagian tengah. Selain itu, Komang tidak teragak-agak untuk berduel melindungi kawasan tengah.

Bukan itu sahaja, pemain pasukan divisyen satu Indonesia, Borneo FC itu juga terkenal mempunyai vision bermain yang baik dengan dia dilengkapi dengan kreativiti untuk membantu dalam serangan.

Semua kelebihan itu pasti membuka mata kelab Liga Super untuk memburu khidmatnya lagi-lagi selepas dia mempamerkan watak cemerlang untuk membantu Indonesia mencipta sejarah baharu buat Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram