KEMELUT politik di Sabah menjadi semakin panas apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta pada Selasa.
Serentak tindakan itu, lima Adun berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mereka yang berbuat demikian ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Namun, tindakan kelima-lima ahli politik tersebut seperti sudah dijangkakan oleh rakyat Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.
Hal ini kerana setiap kali berlaku pergolakan politik di Sabah pastinya akan ada pemimpin yang bertukar parti.
Sehubungan itu, rakyat seakan-akan sudah lali dan bosan apabila pemimpin politik bertindak sedemikian.
Pada masa sama, ada yang berasakan kemelut politik di Sabah pada ketika ini banyak menimbulkan masalah kepada rakyat dan juga ekonomi negeri itu sendiri.
Man Sarawak berkata, kemelut politik di Sabah ini sudah dijangka kerana dramanya tetap sama.
"Tahu sudah politik di Sabah itu, sampai bila pun Sabah tidak akan maju selaginya ada 'katak' yang masih hidup.
"Berjuang hanya untuk kekayaan keluarga, bukan untuk rakyat Sabahan," tulisnya.
Sementara itu, Afiq Forte pula berkata, situasi ahli politik lompat parti hanya berlaku di Sabah.
"Parti lompat parti ini hanya ada di Sabah saja, di Semenanjung kita tidak akan dengar isu ini. Semua setia.
"Ahli politik Sabah kerja melompat demi kepentingan," tulisnya.
Philip Corinthians pula berasakan kemelut politik tercetus kerana faktor berebut kuasa.
"Lompat sana sini, sudah bertahun lamanya dan semuanya berpunca kerana perebutan kuasa. Umno itu sendiri sudah terkubur di Sabah.
"Sudah tentu ahli parti akan melarikan diri tetapi aku percaya andai kata Umno kembali berkuasa, mereka pasti jadi 'katak puru' lompat balik ke sana,"
"Yang pasti kami rakyat ini menjadi mangsa keadaan," tulisnya.
Seorang lagi pengguna media sosial Si Gaibin berkata, situasi pemimpin bertukar parti itu akan memberi kesan yang buruk pada ekonomi Sabah sendiri.
"Kacau bilau dalam politik akan menyebabkan pelabur lari dan kesannya pada rakyat.
"Lihat sahaja situasi di Sabah sekarang, rakyat semakin sengsara. Kami semakin miskin, ramai sudah yang keluar dari Sabah mencari rezeki di luar. Bantu dulu rakyat wahai 'katak-katak' sekalian," tulisnya.
Pada awal Januari lalu, media melaporkan, kemelut politik di Sabah tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai BN dan Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram