Lepas hadiahkan Quran kenang jasa, Steven Sim taja guru darjah 1 tunai umrah


  • Primer
  • Ahad, 19 Feb 2023

Steven Sim berhasrat untuk menaja Cikgu Zaniyah dan suaminya, Pak Johari untuk menunaikan umrah. — Facebook

PROFESION sebagai seorang guru adalah antara bidang pekerjaan yang mulia. Guru mempunyai darjat dan martabat yang tinggi dalam kalangan anak muridnya.

Oleh itu, sebagai menghargai jasa para pendidik yang bersusah payah memberikan pendidikan dan membentuk generasi hadapan, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim bermurah hati menaja salah seorang guru sekolah rendahnya untuk mengerjakan umrah.

Berita gembira tersebut dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam tersebut di laman Facebook peribadi miliknya selepas melawat guru kesayangannya itu pada Ahad.

Menurut Steven Sim, wanita yang hanya dikenali sebagai Cikgu Zaniyah itu merupakan guru kelasnya ketika dia menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dia berhasrat untuk menaja guru dan suaminya itu untuk menunaikan umrah selepas wanita tersebut menyatakan niat untuk berbuat demikian.

"Cikgu menyatakan niat untuk kerjakan umrah. Mendengar kata-kata cikgu, saya terus minta izin untuk menaja kedua-dua dia dan suami, Pak Johari ke Mekkah.

"Cikgu terkejut. Saya kata ini bukan duit kerajaan. Ini duit sendiri. Sebab cikgulah orang yang pertama memberi ilmu, maka saya mohon cikgu halalkan segala rezeki yang saya dapat kerana pendidikan itu.

"Syukur Cikgu Zaniyah dan suaminya merestui hasrat saya. Terima kasih cikgu. Jasamu akan ku kenang selagi nyawa dikandung badan. Semoga cikgu sentiasa bahagia dan sihat walafiat di alam persaraan," tulisnya.

Menurut Steven lagi, Zaniyah merupakan guru pertama yang mengajar dirinya.

"Cikgu Zaniyah ialah guru kelas saya semasa darjah 1 di SRK Stowell. Dialah pembuka pintu ilmu dalam hidup saya.

"13 Februari lalu, cikgu bersara selepas berkhidmat selama 38 tahun di Stowell dan sebenarnya, saya sudah berjanji dengan Guru Besar Stowell untuk hadir di majlis persaraan Cikgu Zaniyah.

"Tapi kebetulan hari itu ada istiadat perasmian sidang Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Jadi saya terpaksa hantar wakil dan kirimkan sedikit hadiah buat cikgu," jelasnya.

Walaupun tidak dapat menghadiri menghadiri majlis tersebut, Steven sempat memberikan hadiah berupa sebuah al-Quran.

"Saya belikan dia sebuah al-Quran digital yang siap dengan bacaan sekali. Mudah untuknya mendengar bacaan yang betul nanti.

"Cikgu Zaniyah tanya saya, adakah dia garang? Saya jawab seingat saya, dia tak garang. Malah cikgu macam ibu kepada kami anak-anak di darjah satu itu. Mungkin sebab saya budak baik di sekolah.

"Saya tanya Cikgu Zaniyah apa rancangannya selepas bersara. Dia kata dia nak 'balik belajar'. Saya ingat dia nak belajar master ke doktor falsafah (PhD), rupa-rupanya cikgu berhasrat nak mengaji al-Quran. Syukur. Sesuailah hadiah kecil saya itu buat cikgu," katanya.

Menurut Steven lagi, sepanjang perjumpaan bersama guru kesayangannya itu, mereka sempat mengimbau kenangan walaupun sudah 40 tahun lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram