Jangka hayat Program Menu Rahmah mungkin tidak lama, pakar saran selesai isu teras


  • Massa
  • Ahad, 19 Feb 2023

Menu Rahmah disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. — Bernama

PROGRAM Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari lalu menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah serta untuk membantu meringankan beban harian.

Melalui inisiatif itu, pelanggan boleh membeli makanan pada harga RM5 dan ke bawah terdiri daripada nasi, ayam atau ikan dan sayur-sayuran dengan air kosong.

Walaupun ia mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat namun, ada juga segelintir daripada mereka usaha tersebut dilihat tidak menyelesaikan masalah untuk mengurangkan kos harian.

Pada masa sama, Program Menu Rahmah ini dikatakan bermanfaat untuk golongan bujang dan penduduk di kawasan bandar sahaja.

Hal ini kerana, bagi mereka yang mempunyai keluarga ramai, Menu Rahmah yang berharga RM5 masih mahal. Bagi penduduk di kawasan luar bandar pula, agak sukar bagi mereka mencari kedai yang mempunyai Menu Rahmah.

Pada masa sama, ada juga peniaga yang mengeluh tentang kenaikan harga barang yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Malah ada dalam kalangan peniaga ini berasakan mereka tidak mampu untuk meneruskan Program Menu Rahmah untuk jangka masa panjang.

download

Dr Shankaran Nambiar. — Agensi

Felo Penyelidik Kanan dan Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar berkata, isu sebenar yang berlaku pada masa sekarang ialah kenaikan harga barang pada ketika ini.

"Saya tidak tahu sejauh mana keberkesanan program ini kerana saya tidak tahu berapa banyak restoran di Malaysia yang mengguna pakai program ini.

"Restoran ingin membuat keuntungan yang munasabah dan mereka tidak boleh menjual harga makanan dengan harga sedemikian secara berterusan.

"Jadi saya tidak tahu sejauh mana dan berapa lama mereka boleh menjalankan program itu. Bagaimanapun, pengusaha kedai makanan mungkin boleh membuat keuntungan jika mereka boleh menjual jumlah Menu Rahmah ini dalam jumlah yang besar," katanya kepada Majoriti.

Tambah Nambiar lagi, sekiranya pihak kerajaan ingin melihat Program Menu Rahmah untuk tempoh yang lama, kerajaan perlu menyediakan jalan penyelesaian yang lain selain daripada pemberian subsidi.

"Subsidi itu perlu diberi kerana ia penting. Namun begitu, kerajaan perlu mencari inisiatif yang lain juga untuk membantu para peniaga ini. Mereka perlu mencari langkah yang sesuai untuk membekalkan bahan asas kepada peniaga dengan harga yang lebih berpatutan.

"Jika melihat kepada situasi pasar raya besar Mydin, pasar raya tersebut boleh mengenakan harga makanan itu dengan murah kerana Mydin membeli barangan mentah secara pukal.

"Tetap kedai makan yang diusahakan 'Kak Moos atau Kak Wani' tak dapat membeli dengan harga sebegitu. Lama-lama, ini akan memberikan impak yang buruk pada pengusaha kedai makanan kecil-kecilan ini.

"Dalam hal ini, pasar raya besar itu akan 'makan' peniaga-peniaga kecil seperti contoh yang saya katakan tadi," katanya.

Ditanya sama ada pekedai mempunyai tempoh pelaksanaan Menu Rahmah tertentu, Nambiar melihat kepada perkara tersebut bergantung kepada peniaga sendiri.

"Pengusaha mungkin mempunyai kuota tertentu dan sekiranya sudah mencapai kuota, mereka berkemungkinan akan menghentikan Program Menu Rahmah tersebut.

"Saya tidak rasa Menu Rahmah ini akan bertahan lama dan menyelesaikan masalah yang sedia ada sekarang.

"Apa pun program kerajaan, ia memerlukan sasaran dan jangkaan hasil yang betul dalam tempoh tertentu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram