RAKAMAN suara bagi Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 masih lagi menjadi isu panas setakat ini.
Hal ini kerana ada calon yang menduduki UMBI SPM 2022 yang berlangsung pada 16 Februari lepas, mendakwa mereka berdepan masalah kerana pertuturan individu berkenaan tidak jelas dan laju.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata proses rakaman suara bagi UMBI SPM 2022 dibuat sudah lama dan tidak timbul isu menggunakan pempengaruh TikTok sebagai pelontar suara untuk ujian berkenaan.
Namun begitu, ia masih lagi menjadi isu utama dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan pendidik yang meluahkan rasa tidak puas hati serta kecewa terhadap kualiti audio .
Dr. Roslizam Hassan
Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan UTM Johor Bahru, Dr. Roslizam Hassan berkata, pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP) sepatutnya mendedahkan bahan audio tersebut.
"Kalau betul tiada masalah, dedahkan. Bagi orang awam dan ibu bapa yang menilai supaya tidak timbul isu berbangkit di kemudian hari.
"Isu ini bukanlah perkara kecil, pihak Kementerian Pendidikan perlu berlaku telus. Dedahkan sahaja audio kalau betul tidak mengganggu peperiksaan," katanya kepada Majoriti.
Pada Sabtu, Majoriti melaporkan seorang wanita yang menggunakan akaun Sis Madu! mengaku sebagai pemilik suara latar yang memegang watak Mariam menerusi audio ujian tersebut.
Ujian mendengar itu mencetuskan kontroversi selepas terdapat guru dan murid mendakwa sebutan percakapan di dalam audio tersebut tidak jelas sehingga menyebabkan ribuan calon SPM tertekan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram