'Jalan Sabah pun macam kawah di bulan', idea tapak pelancaran ke angkasa lepas dapat komen sinis rakyat


  • Massa
  • Rabu, 15 Feb 2023

Pengguna Facebook, Helena Chua berkongsi satu gambar sinis yang menunjukkan keadaan jalan raya di Sabah yang tidak diselenggara dengan baik.

"ORANG mengandung pun boleh terberanak dengan keadaan jalan raya di Sabah yang teruk, ada hati lagi nak buat fasiliti pelancaran ke angkasa lepas ".

Itulah komen sinis yang dilontarkan oleh seorang pengguna media sosial di Facebook apabila kerajaan negeri Sabah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah berhasrat untuk memiliki kemudahan pelancaran ke angkasa lepas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, fasiliti akan dilaksanakan tidak lama lagi sekiranya kebolehlaksanaan program tersebut menunjukkan hasil yang positif.

Katanya, kajian kebolehlaksanaan itu adalah langkah pertama yang dilaksanakan selepas penubuhan Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah yang sudah dipersetujui Kabinet negeri sebelum ini.

"Kita akan menubuhkan sebuah agensi yang dikenali sebagai 'Sabah Space Industrial Corporation' (Perbadanan Industri Angkasa Lepas Sabah).

"Agensi ini akan bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi menjalankan inisiatif membangunkan sektor AeroAngkasa di Sabah," katanya pada Rabu.

Walaupun ia dilihat sebagai satu inisiatif yang dapat membangunkan negeri tersebut namun rata-rata rakyatnya berasakan kemudahan tersebut tidak perlu dibuat terlebih dahulu dengan keadaan negeri Sabah yang sangat daif ketika ini.

Seorang pengguna media sosial, Deen Nie Alnurizzman meluahkan rasa kecewanya melihat tindakan kerajaan negeri Sabah ibarat seperti mengabaikan rakyat kerana terlalu mengejar cita-cita tinggi.

"Bina jalan dan kemudahan asas yang lain dulu untuk rakyat. Jauh sangat cita-cita kau itu," katanya.

Adrian Jaujus pula berasakan kerajaan negeri sekarang seperti orang yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

"Jauh betul nak sampai ke angkasa lepas sedangkan isu rakyat sendiri tidak pernah diselesaikan.

"Kami bukan tak mahu Sabah maju tetapi dengan keadaan Sabah yang 'miskin' dari negeri lain, apa tindakan mereka (kerajaan)?

"Kerajan bertukar kerajaan tetapi hasilnya tetap sama, masih ada juga kanak-kanak yang terpaksa menggunakan rakit ke sekolah. Lihat sahaja di kawasan pendalaman, tiada satu pun kemudahan yang disediakan," luahnya.

Sementara itu, Ramlan Goddos mempersoalkan lokasi kemudahan pelancaran ke angkasa lepas itu sekiranya dilancarkan nanti.

"Di mana tempat sesuai untuk melancarkan roket ke bulan di Sabah? Hujan lebat, awan tebal, tengkujuh, dan angin monsun boleh ke buat?

Adile An Nouri pula meninggalkan komen berbaur sinis dalam ruangan komen media sosial.

"Untung rakyat Sabah. Boleh hari-hari tengok pelancaran roket ke angkasa lepas, sambil berakit ke sekolah," tulisnya.

Rahmi Press berkata, perbaiki dahulu jalan raya di Sabah yang tak ubah seperti kawah bulan di angkasa sebelum bercita-cita tinggi.

"Orang mengandung pun boleh terberanak dengan keadaan jalan yang teruk. Beli kereta mahal tapi rasa macam naik kereta kuda," katanya.

Untuk rekod, cadangan ini sudah dibentangkan dan mendapat persetujuan Kabinet Negeri.

Sebelum ini , seorang pengguna Facebook, Helena Chua berkongsi satu gambar sinis yang menunjukkan keadaan jalan raya di Sabah yang tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, terlalu banyak buaya (menteri) di Sabah ini, sehingga jalan berlubang-lubang pun tidak dapat di selenggarakan.

"Sebab itu kita di beri peluang 5 tahun sekali untuk memilih dan pastikan pilihan kita tahu bekerja untuk rakyat dan memastikan infrastructure,kesihatan , ekonomi, keselamatan dan pendidikan Rakyat Sabah terjaga dan terbela.

"Cukup-cukuplah Sabahan piara (pelihara) Buaya (menteri) yang memudaratkan Rakyat Sabah," tulisnya dengan sinis.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram