SEORANG pengamal perubatan yang dikenali sebagai Dr Rusyainie Ramli berharap agar pihak Kementerian Pendidikan (KPM) lebih prihatin dalam memilih personaliti yang merakam suara untuk ujian Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia meluahkan rasa khuatir tersebut melalui Facebook peribadi selepas anak perempuannya yang hanya dinamakan sebagai Zulaikha menghadapi situasi sukar untuk memahami butir patah perkataan dalam ujian mendengar Bahasa Inggeris kerana slanga yang digunakan oleh pelontar suara audio berkenaan.
"Anak saya mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris yang sangat baik. Dia mengadu kepada saya yang dia menghadapi kesukaran dalam ujian mendengar Bahasa Inggeris kerana slanga yang digunakan oleh penutur itu macam pelik.
"Dan ada bahagian yang ayat yang tak jelas perkataan yang disebut. Sebutannya aneh, itu yang Zulaikha beritahu," katanya.
Tambah Rusyainie, dia turut cuba menenangkan anaknya kerana menyangkakan anak perempuannya itu terlebih gelisah.
"Tapi tak mungkin, sebab Zulaikha tak pernah risau pasal subjek berkenaan. Dia dan kawan-kawan yang lain juga mengalami masalah yang sama.
Dr Rusyainie Ramli. — Facebook
"Sedangkan mereka semua bertutur dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara utama. Laju semacam ayat yang dia dengar.
"Macam tak ada koma, titik bagai. Hujungnya entah apa yang diperkata, susah nak ditangkap.
"Ulangan dua kali sahaja, hanya itu peluang yang ada. Ini bukan main-main.
"Anak saya yang bertutur dalam Bahasa Inggeris pun mengalami masalah memahami apa yang cuba disampaikan, bayangkan pelajar lain yang tidak mahir bahasa kedua itu," luahnya.
Pada Sabtu, Majoriti melaporkan, ribuan calon SPM berdepan tekanan selepas gagal memahami dengan jelas audio UMBI dalam peperiksanaan tersebut yang didakwa menggunakan khidmat pempengaruh TikTok.
Sementara itu, Lembaga Peperiksaan (LP), KPM menafikan bahawa ujian UMBI peperiksaan SPM tahun 2022 dilaksanakan baru-baru ini menggunakan khidmat TikTokers sebagai pelontar suara audio.
"Pelontar suara digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM pada kali ini terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.
"Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022.
"Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh.
"LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin," kata LP dalam satu kenyataan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram