Dakwa Menu Rahmah undang penyakit serius, Ahli Parlimen PAS dapat kecaman rakyat


  • Massa
  • Khamis, 16 Feb 2023

Rakyat kesal dengan dakwaan Ahli Parlimen Kapar itu yang mendakwa bekalan makanan Menu Rahmah berkualiti rendah sehingga menyebabkan pelbagai penyakit.

KRITIKAN dilakukan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali terhadap tahap keselamatan hidangan dalam Program Menu Rahmah mendapat kecaman dan sindiran rakyat kerana ia dibuat tidak bersandarkan kepada bukti saintifik.

Dakwaan Dr Halimah itu dibuat ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 baru-baru ini.

“Saya tidak ada masalah dengan istilah Rahmah atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen berpendapatan rendah (B40) diberikan bekalan makanan yang berkualiti rendah.

“(Hal ini) mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, penyakit autoimmune, autisme dan sebagainya,” katanya.

Namun begitu, Dr Halimah dari PAS tidak memberikan sebarang penjelasan saintifik untuk dakwaannya.

Kenyataannya itu menyebabkan rata-rata pengguna media sosial hairan bagaimana Dr Halimah yang merupakan doktor perubatan boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.

Malah, ada ibu bapa yang mempunyai anak penghidap penyakit autisme turut tampil meluahkan rasa tidak puas hati dengan tuduhan terbabit.

Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak istimewa, Wan Saiful meluahkan rasa kecewanya dengan dakwaan Ahli Parlimen tersebut.

"Anak aku autisme dan benda ini bukanlah perkara main-main. Mengaku doktor tapi bercakap macam orang yang tidak berpelajaran tinggi. Siapalah mengundi dia (Dr Halimah) ini? Kecewa dan sedih. Penyakit ini bukan perkara yang boleh dipolitikkan," katanya.

Sementara itu, Hafizi Hnihkmhzm mempersoalkan bukti saintifik berkenaan hujah Ahli Parlimen PAS itu.

"Jurnal mana dia ambil ini? Orang dalam bidang perubatan kena bercakap dengan evidence based," tulisnya.

Rodziah Omar pula berasakan Program Menu Rahmah itu tidak memudaratkan.

"Saya hari-hari makan menu Rahmah dah seribu rahmat. Alhamdulillah setakat ni sihat walafiat bebas dari sebarang penyakit termasuk penyakit tiga serangkai. Bagi orang berpendapatan kecil asal perut dapat diisi supaya dapat meneruskan kehidupan di bumi ALLAH ini dah seribu syukur," katanya.

Izzad Hj Nasir pula meninggalkan komen sinis di media sosial dengan membanding masalah air paip di negeri Kelantan yang kotor.

"PAS lagi teruk, bagi air paip karat. Tapi mereka pejam mata, air paip itu lagi teruk kesan dia pada manusia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram