'Sekolah bukan tempat penuhi KPI kementerian lain', pelbagai luahan pendidik selain setuju mansuh pertandingan


  • Massa
  • Isnin, 20 Feb 2023

Mansuhkan program yang tidak memberikan impak kepada guru dapat membantu pendidik memberi perhatian sepenuhnya untuk mengajar pelajar. — Agensi

KEPUTUSAN pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memansuhkan program yang tidak memberikan impak kepada guru dan pelajar pada Jumaat lalu disambut baik oleh warga pendidik.

Hal ini kerana, ia berkemungkinan dapat membantu guru memberi perhatian sepenuhnya untuk mengajar pelajar tanpa memikirkan perkara-perkara lain.

Antara program yang dimansuhkan adalah seperti sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang dilihat membebankan para pendidik.

Namun begitu, seorang warga maya Shaharol Nizam melalui Facebook Kami Guru Malaysia (KGM) berpendapat pihak KPM tidak seharusnya mengehadkan pemansuhan itu kepada pertandingan sahaja.

Katanya, selain pertandingan, terdapat banyak juga urusan yang tidak melibatkan pertandingan memberi impak.

Shaharol turut menyenaraikan beberapa program yang perlu dimansuhkan, antaranya ialah penyediaan fail yang banyak dan dihias cantik.

"Yang kedua, mewujudkan bilik atau tempat khas mengikut tema dasar semasa. Sebelum ini kalau kempen dadah, segala dadah dan kalau kempen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), semua bertukar.

1280x720_header-template

Seorang pengguna media sosial berpendapat mewujudkan bilik atau tempat khas mengikut tema dasar semasa patut dihapuskan kerana mebuang masa guru. — Agensi

"Sampai makcik kantin pun kena tanya pasal KBAT. Mereka buat kononnya itu beri impak kepada murid.

"Nak tanya satu soalan sahaja, apa kaitan fail banyak dan cantik dengan murid? Siapa boleh beri jawapan paling rasional?

"Penyediaan laporan berlapis lapis peringkat dan permintaan? Apa impaknya?," soalnya lagi.

Pada masa, Shaharol turut mempertikaikan mesyuarat di sekolah yang terlalu banyak sehingga membuang masa guru sekali gus menghalang masa cikgu bersama pelajar.

"Konsep paling mudah, cikgu untuk murid. Buanglah perkara-perkara yang menghalang pendidik bersama pelajar.

"Memang ada yang beranggapan semua yang dibuat untuk murid. Tetapi tak semua yang kita buat murid tahu atau murid rasai,"katanya.

Pendapat Shaharol itu turut disokong oleh ShaAzlina Ahmad.

"Sangat-sangat sokong. Tambah satu lagi, hapuskan Pertandingan Gallery Walk Program Inklusif," katanya.

Sementara itu, Faten Amira Md Yasin berharap pihak kementerian yang lain jangan menggunakan sekolah untuk memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka.

"Kementerian lain, kalau boleh jangan guna sekolah untuk memenuhi KPI mereka.

"Buat di luar, cari sendiri penyertaan sukarela dari luar. Jangan tumpang KPM atas nama kerjasama dengan Kementerian Pendidikan," tulisnya.

Neo Reza mencadangkan program guru menanti murid di pagar sekolah dihapuskan.

"Tak perlu rasanya, cikgu terpaksa datang awal lebih awal daripada murid sebab nak sambut mereka. Kalau untuk hari pertama persekolahan okay, boleh buat,"katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Aisya Yun memohon pihak KPM untuk menyemak semula sistem pengisian fail yang dianggap lama.

"Sistem fail perlu semak semula sebab dah banyak boleh dibuat secara dalam talian dan masukkan data dalam Google, semua paperless, inkless," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram