Inisiatif 'kupon RM4.50' Masjid Daerah Bagan Serai beri manfaat 4 sekolah


  • Massa
  • Isnin, 20 Feb 2023

Pelajar bebas memilih makanan mereka sendiri dengan syarat tidak melebihi nilai kupon makanan tersebut.

BERMULA dari kesedaran untuk membantu keluarga susah, kini inisiatif yang diusahakan oleh Masjid Daerah Bagan Serai, Perak diperluaskan ke bantuan kupon makanan untuk pelajar kurang berkemampuan.

Walaupun kumpulan sasarannya berbeza berbanding konsep program Menu Rahmah namun matlamatnya selari bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat berpendapatan rendah (B40), sekali gus membantu meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan.

Pengedaran kupon di bawah Program Sumbangan Anak-anak Yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) & Yang Berkeperluan sekitar kariah Masjid Daerah Bagan Serai itu dapat membantu keluarga tidak mampu.

Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai, Mohd Saad Hashim berkata, program sumbangan tercetus atas kesedaran perlunya bantuan kepada anak-anak yatim, OKU dan kumpulan yang berkeperluan terutamanya B40 dan miskin tegar.

"Bantuan ini sebenarnya sudah dimulakan sejak 2017. Pada masa itu, jumlah diberikan secara mingguan.

WhatsApp Image 2023-02-19 at 19.25.47 (1)

Timbalan Pengerusi Masjid Daerah Bagan Serai, Mohd Saad Hashim.

"Ketika negara menghadapi musibah pandemik Covid-19, bantuan kewangan ini dihulurkan dengan lebih aktif iaitu secara harian.

"Pada masa sama, pihak masjid ingin memberi peluang kepada ahli-ahli jemaah masjid dan orang ramai untuk menghulur sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan ini," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Bercerita lanjut mengenai program kupon RM4.50 yang diagihkan kepada pihak sekolah, Mohd Saad berkata, setakat ini pihak masjid membantu empat buah sekolah yang berada dalam kawasan tadbiran masjid.

"Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar, SMK Bagan Serai, SK Jalan Matang Buluh dan SK Bagan Serai. Hanya Masjid Daerah Bagan Serai yang menganjurkan program seumpama ini setakat ini.

"Jumlah kupon pula ditentukan sendiri oleh pihak sekolah disesuaikan dengan jumlah yang disumbangkan serta diagihkan mengikut bilangan pelajar yang layak menerima sumbangan.

1939810

Setiap hari, pihak sekolah akan meletakkan kupon khas bernilai RM4.50 untuk pelajar-pelajar yang memerlukan ini di kantin sekolah.

"Contoh bagi sekolah SMK Alang Iskandar bilangan layak menerima bantuan seramai 51 orang, pihak sekolah agihkan kupon bernilai RM4.50 untuk seorang dalam sehari," jelasnya.

Tambah Mohd Saad lagi, sumbangan bantuan berkenaan akan diadakan secara berperingkat mengikut fasa 1 dan fasa 2.

"Agihan fasa 1 dijangka bertahan selama dua bulan. Pihak masjid akan membuat perkiraan semula selepas selesai fasa tersebut.

"Justeru itu, sumbangan untuk fasa seterusnya mengikut keupayaan semasa kewangan yang melibatkan hasil sumbangan orang ramai. Setakat ini sumbangan masih berterusan," katanya.

Ditanya mengenai jumlah bilangan pelajar yang layak menyertai program, Mohd Saad yang juga merupakan bekas pengetua sekolah menengah itu berkata, tinjauan daripada pihak keempat-empat sekolah yang terlibat, sehingga bulan Oktober lalu seramai 145 pelajar yang layak diberi sumbangan.

"Hasil daripada jumlah sumbangan daripada ahli jemaah dan orang ramai kepada masjid dan diikuti perkiraan jumlah pelajar yang layak dibantu, kami meluluskan sejumlah hampir RM40,000 diagihkan kepada pihak sekolah-sekolah berkenaan.

"Jumlah ini diagihkan berdasarkan data semasa untuk bulan Oktober hingga Disember lalu," katanya.

WhatsApp Image 2023-02-19 at 19.26.11

Masjid Daerah Bagan Serai, Perak

Jelasnya, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menguruskan agihan pembelian makanan dengan menggunakan sistem kupon yang nilainya ditentukan oleh pihak sekolah mengikut kesesuaian kategori sekolah iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Jumlah yang layak menerima sumbangan sentiasa berubah-ubah mengikut kadar kematian ibu bapa dan juga mungkin peningkatan OKU dan peningkatan jumlah yang berkeperluan.

"Untuk rekod jumlah perbelanjaan dan sumbangan kepada anak yatim, OKU dan miskin sepanjang tahun lalu ialah RM141,139," katanya lagi.

Selain daripada program kupon makanan berkenaan, pihak masjid turut mengadakan program lain seperti bayaran tahunan PIBG kepada murid-murid yang kurang berkemampuan seperti sumbangan pakaian seragam sekolah, pembelian buku latihan dan alat tulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram