Pastikan tiada pihak kaut keuntungan RMT murid B40 — Nurul Izzah


  • Massa
  • Ahad, 19 Feb 2023

Izzah bersama Fadhlina Sidek turun padang untuk menilai dan meneliti program RMT di sekolah pada Ahad. — Facebook

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak golongan berpendapatan rendah B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Nurul Izzah menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid-murid tersebut dirasakan tidak mencukupi kerana bukan semua dapat makanan bernutrisi di sekolah.

Malah katanya, apabila pulang ke rumah, sesetengah ibu bapa memang tidak mampu untuk menyediakan makanan di atas meja akibat kemiskinan.

"Saya dapat tahu ramai pelajar B40 tidak mendapat nutrisi mencukupi setiap hari, terutama mereka di bandar. Saya pernah melawat satu keluarga ini, mereka hanya menghidangkan nasi putih dengan kicap untuk anak-anak setiap hari. Ada juga mak ayah yang hanya menyediakan mi segera.

"Golongan ini makin menderita. Kuasa beli B40 kini mengecut secara drastik akibat inflasi.

"Saya dengar ada sekolah yang menggunakan susu pekat manis sebagai pengganti susu dan hanya beri mi dalam portion yang sangat kecil," katanya.

Prihatin dengan isu tersebut, Nurul Izzah mengadakan pertemuan lebih satu jam dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Ahad untuk mengetengahkan isu sekuriti makanan dalam kalangan keluarga B40.

"Dalam sesi lawatan di sekitar PPR, saya sempat menyapa beberapa kanak-kanak yang sedang bermain. Apabila saya tanya, berapa umur mereka, mereka suruh saya teka tapi tekaan saya semuanya salah.

"Seorang berumur 13 tahun, seorang berumur lapan tahun. Kecil dan kurus berbanding rakan sebaya mereka," ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, program RMT di sekolah perlu dipantau dan dipastikan supaya memuatkan menu bernutrisi tinggi untuk kanak-kanak di negara ini.

"Kita juga akan memastikan kontrak tidak akan diberi kepada sesiapa secara semberono agar kanak-kanak mendapat nutrisi sepatutnya di sekolah melalui program ini. Tiada siapa yang akan mengaut keuntungan daripada makanan pelajar B40," katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah turut berkongsi statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS) yang mana 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia membesar dengan tumbesaran terbantut akibat pengambilan makanan yang tidak seimbang.

"Yang ni kita sendiri boleh lihat dengan jelas di mana sesetengah pelajar sekolah terjejas tumbesarannya.

"Makanan adalah keperluan asas untuk semua orang, tak kira miskin atau kaya, dan semua keluarga berhak mendapat akses yang sama kepada makanan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram