'Tanker' baharu Sabah FC pikat hati fans Sabah, miliki 2 faktor utama disambar Sang Badak


  • Podium
  • Ahad, 19 Feb 2023

Kwang-min ketika beraksi dalam perlawanan penutup pra-musim menentang Tampines Rover yang diadakan di Stadium Likas, Sabah. —Facebook/Sabah Football Club

SELEPAS beberapa hari membiarkan peminat berteka-teki mengenai kemungkinan kehadiran pemain import dari Korea Selatan, Ko Kwang-min, Sabah FC akhirnya mengesahkan perpindahan pemain itu pada Sabtu bagi memperkuatkan barisan pertahanan The Rhinos menghadapi musim baharu Liga Super 2023.

Pengumuman mengenai penyertaan Kwang-min yang juga legenda kelab FC Seoul itu dibuat menerusi Facebook rasmi Sabah FC pada Sabtu.

Pada masa sama, peminat skuad Badak juga berpeluang untuk buat pertama kali menyaksikan kelibatnya di atas padang apabila beliau turut diberi kesempatan beraksi semasa perlawanan terakhir pra-musim menentang Tampines Rover di Stadium Likas, Sabah.

Berusia 34, bek kiri itu mempunyai pengalaman yang lama di Liga Korea Selatan dengan 187 penampilan dengan penampilan sulungnya bersama Seoul adalah pada tahun 2011.

Selain itu, dia juga merasai perlawanan di peringkat Liga Juara-Juara AFC dengan rekod 33 perlawanan, menurut Transfermarkt.

Menjengah di ruangkan komen, rata-rata daripada peminat berkongsikan kekaguman terhadap ketenangan gaya permainan ditonjolkan Kwang-min ketika perlawanan tersebut.

Pada masa sama, terdapat juga antaranya yang memuji kecekapan beliau mengawal bola di samping kreativitinya dan keserasiannya menghasilkan hantaran bagi mencipta peluang kepada rakan sepasukan.

Kwang-min (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain Sabah FC pada penutup pra-musim yang diadakan di Stadium Likas, Sabah. —Facebook/Sabah Football Club

Kwang-min (tengah) ketika diperkenalkan sebagai pemain Sabah FC pada penutup pra-musim yang diadakan di Stadium Likas, Sabah. —Facebook/Sabah Football Club

"Bagus ohh dia main tadi. Walaupun kejap tapi nampak macam selesa sudah dengan rakan sepasukan baharu. Kemas," kata Adha JoeAni.

Mill Delinting pula menulis, "Cantik dia main, kawalan bola, hantaran bola baik dan tenang."

Selain tenang dan mempunyai kemahiran kawalan bola yang kemas, Kwang-min juga berkemampuan untuk menghantar umpanan bola yang baik kepada rakan sepasukan, apatah lagi dia sebagai seorang pemain pertahanan.

Maka tidak hairan berdasarkan statistik, Kwang-min menyumbang 14 bantuan gol dalam 250 penampilan di Liga Korea.

Dalam pada itu, terdapat juga peminat yang tampil mempertahankan tindakan Sabah FC bagi menandatangani Kwang-min meskipun beliau dilihat sudah agak berusia.

"Yang penting ada pengalaman. OKS (Ketua Jurulatih Sabah FC, Ong Kim Swee) ada taktikal tersendiri kenapa ambil pemain berusia. Faktor bermain di Liga Korea Selatan," ujar Emi Fabregas.

Dalam pada itu, Yokzu JD pula berpandangan kemasukan Kwang-min itu mampu beperanan sebagai pemain sokongan sekiranya Daniel Ting, tidak dapat beraksi ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT).

Selain bermain di posisi utama sebagai pertahanan kiri, dia juga pernah diletakkan beraksi sebagai pertahanan kanan dan pemain tengah.

Tentunya, sebagai rakan senegara kapten pasukan Sabah, Park Tae-Su ia tentunya memudahkan dia untuk membina keserasian di barisan pertahanan sekali gus mengukuhkan barisan pertahanan Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram